19 suspek pengganas dicekup, antaranya cuba melakukan serangan semasa Sukan Sea dan sambutan Hari Kebangsaan

0
3

KUALA LUMPUR:  Bahagian Counter Terrorism Cawangan Khas Bukit Aman berjaya mencekup 19 individu dalam operasi khas di Selangor, Kuala Lumpur, Kelantan dan Johor dalam usaha membendung cubaan melancarkan serangan semasa temasya Sukan Sea Kuala Lumpur 2017 dan Hari Kebangsaan ke-60.

Ketua Polis Negara, Datuk Seri Mohd Fuzi Harun berkata, daripada 19 individu terbabit, lapan merupakan rakyat tempatan.

“Tangkapan pertama dilakukan pada 4 Julai di Shah Alam, Selangor membabitkan suspek warganegara Bangladesh berusia 25 tahun.

“Bekerja sebagai guru sementara di sebuah Maahad Tahfiz di Gombak, suspek disyaki terlibat dalam aktiviti kumpulan pengganas Jamatul Mujahideen Bangladesh, yang merupakan sel gabungan pengganas Daesh.

Katanya, suspek yang turut berada dalam ‘senarai dikehendaki’ Polis Bangladesh dipercayai memasuki Malaysia pada 4 September 2016 untuk melanjutkan pelajaran di sebuah institusi pengajian awam.

Tangkapan kedua kata Fuzi, dilakukan di Johor Bahru pada 7 dan 9 Ogos membabitkan tiga suspek yang terdiri daripada seorang rakyat Malaysia dan dua rakyat Maldives.

“Suspek, rakyat tempatan yang berusia 40 tahun didapati menyimpan enam naskah majalah ‘Dabiq’ seta beberapa artikel berkaitan pengganas Daesh di dalam telefon bimbit miliknya.

“Dua lagi suspek, merupakan warganegara Maldives yang berusia 29 dan 33 tahun dan bekerja sebagai juruteknik penghawa dingin.

“Kedua-duanya disyaki menggunakan Malaysia dan Singapura sebagai transit sebelum berlepas ke Syria untuk menyertai perjuangan kumpulan tersebut.

Pada 11 Ogos lalu, katanya lagi, tangkapan ketiga membabitkan seorang pesara guru berusia 63 tahun di Bachok, Kelantan.

“Suspek dicekup kerana aktif mempromosikan kumpulan pengganas Daesh melalui dua akaun facebook miliknya.

Tangkapan di Gombak, Selangor pada hari yang sama pula membabitkan dua beradik warga Iraq, berusia 41 dan 63 tahun.

“Mereka yang bekerja sebagai juruteknik disyaki bertindak sebagai Komander kumpulan pengganas Daesh di selatan Iraq.

Pada 15 dan 16 Ogos di Selangor dan Kuala Lumpur, pasukan terbabit turut menjaring dua individu yang berasal dari Palestin dan Iraq.

“Suspek warga Palestin disyaki merancang untuk menyertai kumpulan pengganas Daesh di Selatan Filipina manakala suspek warganegara Iraq pula terllibat dalam kumpulan pengganas Albania yang mempunyai hubungan dengan kumpulan pengganas Daesh.

Pada 25 Ogos kata Fuzi lagi, dua warga Indonesia yang berusia 29 dan 47 tahun serta bekerja sebagai peniaga dicekup di Petaling Jaya, Selangor.

“Kedua-dua mereka ditangkap kerana disyaki aktif dalam merekrut anggota baharu kumpulan pengganas Daesh dan merancang untuk berlepas ke Syria bagi menyertai perjuangan kumpulan tersebut.

Kemuncaknya kata Fuzi, adalah pada awal pagi 30 Ogos lalu, apabila pasukan ini menerusi satu operasi khas bersama Unit Tindakan Khas (UTK) Bukit Aman di Cheras, telah berhasil menangkap lapan individu yang disyaki terlibat dalam kumpulan pengganas Abu Sayyaf Group (ASG).

“Tangkapan melibatkan dua warganegara Filipina dan enam warganegara Malaysia yang berusia antara 20 hingga 52 tahun.

“Suspek utama yang berusia 25 tahun merupakan anggota ASG yang telah menyusup masuk ke Sandakan, Sabah sebelum ke Kuala Lumpur pada Disember 2015.

Suspek katanya, juga pernah terlibat dalam pertempuran dengan tentera Filipina kerana menculik enam tebusan warganegara Filipina dan menyembelih seorang tebusan beragama Kristian di Selatan Filipina pada tahun 2010.

Suspek juga pernah mengadakan pertemuan dengan Dr. Mahmud Ahmad, Mohd Najib Hussein dan Muhammad Juraimee Awang Ramlee iaitu rakyat Malaysia yang menyertai kumpulan ASG sejak 2014 di Kampung Tipo-Tipo, Basilan, Selatan Filipina pada September 2015.

Mereka, kata Fuzi didapati merancang untuk melancarkan serangan semasa upacara penutupan Sukan SEA Ke-29 di Stadium Nasional Bukit Jalil dan Perbarisan Hari Kebangsaan Ke-60 di Dataran Merdeka, Kuala Lumpur baru-baru ini.

“Kesemua mereka yang dijaring akan didakwa di bawah kesalahan berkaitan dengan keganasan, Kanun Keseksaan (Akta 574) dan akan disiasat mengikut prosedur di bawah Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) SOSMA 2012 (Akta 747),” tambahnya lagi. – Sarawakvoice