PRU-14 sudah semakin hampir. Dan seperti kebiasaannya, bersamanya akan hadirlah senarai panjang janji manis atau manifesto untuk disajikan kepada para pengundi.

Pada PRU-13, negara semacam ada sistem dua gabungan parti; gabungan diterajui Brisan Nasional (BN) melawan Pakatan Rakyat (PR) yang diterajui PKR. Pada PRU-14, kita mungkin ada barangkali tiga gabungan parti, iaitu BN, PH dan gabungan yang dipimpin oleh PAS.

Lazimnya setiap gabungan parti akan menawarkan manifesto mereka sendiri. Bagi Sabah dan Sarawak pula, kebiasaannya parti-parti utama akan mengadakan manifesto khusus. PH misalnya, pada bulan Ogos lalu mengumumkan akan merangka manifesto khas bagi Sabah dan Sarawak.

Kredit Foto Vernon Kedit‎

Sehubungan dengan itu, PRU-14 nanti boleh dijangkakan sebagai PRU yang paling banyak manifesto atau senarai janji.

Sehingga kini inti pati kepada manifesto yang diuar-uarkan oleh PH tersebut masih belum didedahkan kepada pengetahuan umum. Tetapi mengikut apa-apa yang dilaporkan menerusi media, manifesto PH untuk Sabah dan Sarawak akan menyentuh mengenai pemberian autonomi lebih banyak, menaik taraf kemudahan bekalan air dan menambah bilangan sekolah yang menggunakan bahasa Inggeris sebagai bahasa pengantar.

Tetapi persoalannya, bukankah semua ini sudah pun diperjuangkan dan akan terus diperjuangkan oleh kerajaan negeri Sarawak?

“Kami komited untuk mencadangkan sebuah tawaran baharu bagi Sabah dan Sarawak yang mengiktiraf status rakan kongsi setara Sabah dan Sarawak di dalam Persekutuan, serta desentralisasi kuasa dan hasil cukai”. Demikian kata Ketua DAPSY Kebangsaan, Wong Kah Woh dalam satu sesi sidang media sedikit masa lalu.

Jika cadangan Ketua DAPSY diterima oleh pemimpin PH untuk merangka manifesto bagi Sarawak, mereka sebenarnya tidak mempelajari apa-apa daripada pengalaman PRN 2015 yang lalu.

Pengundi Sarawak dalam PRN 2015 dengan jelas memberikan sokongan padu kepada parti yang bersifat inklusif, sedia berunding dan bekerjasama demi kebaikan rakyat.

Mereka menolak parti yang mengutamakan sentimen kewilayahan melampau, mengamalkan pendekatan bermusuhan dan suka berkelahi sesama komponen parti sendiri.

Ada yang berpendapat bahawa elok juga kiranya parti-parti yang bakal bertanding dalam PRU-14 nanti mengemukakan manifesto mereka lebih awal daripada kebiasaannya.

Jika dilaksanakan, perkara ini dapat membantu para pengundi membuat perbandingan manifesto parti mana yang lebih baik.

Pengundi pada hari ini bukan lagi seperti dahulu. Banyak kajian menunjukkan peratusan  celik politik dalam kalangan pegundi di negara ini semakin tinggi.

Pengundi pada hari ini sudah boleh menilai antara janji yang ikhlas dan janji yang sekadar dibuat-buat untuk menang PRU.

Situasi ini menyebabkan pemimpin yang hanya ‘pandai menanam tebu di bibir mulut’ tidak lagi dapat bertahan dan diberi kepercayaan oleh pengundi.

Masa untuk pemimpin dan calon PRU yang hanya pandai berjanji dan beretorik sudah berlalu.

Parti yang memperlihatkan mereka mengutamakan dasar-dasar yang bersifat inklusif, sedia berunding untuk mencari kebaikan dan membawa pembangunan kepada rakyat akan diberi mandat yang besar pada PRU-14.

Akhirnya, pengundi sebenarnya mempunyai bertanggungjawab besar untuk memastikan perkara itu benar-benar berlaku selepas PRU-14. – Sarawakvoice