Monday, June 27, 2022

Sang bedal 16 kaki tersesat di daratan Limbang dilepaskan ke kolam balak Pandaruan — Bomba

Secara Rawak

LIMBANG: Seekor buaya sepanjang 16 kaki yang berjaya ditangkap di kawasan perindustrian Limbang pagi semalam akhirnya dilepaskan ke habitat asalnya, di kolam balak di Jalan Kubong, Pandaruan dekat sini.

Menurut Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Limbang, Tawang Lingem, keputusan itu diambil setelah pihaknya mengadakan perbincangan dengan pihak Sarawak Forestry Corporation (SFC).

“Kerja-kerja melepaskan reptilia tersebut dilakukan sekitar jam 1.10 petang tadi,” katanya lagi.

Terdahulu, pada pagi semalam, penduduk di bandar ini gempar apabila seekor buaya berukuran 16 kaki naik ke darat dan merayap di permukaaan jalan, dipercayai mencari makanan.

Pihak Jabatan Bomba dan Penyelamat kemudian dimaklumkan tentang kejadian tersebut sekitar jam 7.36 pagi dan sebuah jentera serta kenderaan utiliti dikejarkan ke lokasi iaitu berhadapan premis West Lake Tyre, di kawasan perindustrian Limbang.

Pasukan kemudian mengambil masa 30 minit untuk memerangkap sang bedal terbabit, yang agresif dan memutar badannya untuk meloloskan diri.

Bagaimanapun pihak bomba yang terlibat akhirnya dapat mengikat dan menutup mata serta mulutnya.

Buaya tersebut kemudian diangkat menggunakan forklift untuk dimasukkan ke dalam lori sebelum disimpan sementara di Balai Bomba dan Penyelamat Limbang.

Ini merupakan kejadian pertama buaya naik ke kawasan awam di lokasi tersebut. – Sarawakvoice

Ikuti Facebook Kami

Artikel Terbaru