Kit Siang minta PH sedia hadapi pertandingan tiga penjuru lawan BN, Pas

KUALA LUMPUR: Ketua Parlimen Dap Lim Kit Siang berkata Pakatan Harapan (Harapan) sedia menghadapi pertandingan tiga penjuru pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14) melawan BN dan Pas.

Berucap pada Dialog Kopitiam di Batu Pahat, Kit Siang berkata, realiti politik ini memberi peluang kepada Harapan mengalahkan Umno-BN untuk membawa perubahan dalam pentadbiran Kerajaan Persekutuan di Putrajaya.

Memetik Malaysia Dateline, perkiraan Kit Siang ialah, jika 10 peratus pengundi Melayu dan 5 peratus bukan Melayu dari Umno-BN menyokong Harapan pada PRU14, kemungkinan besar Harapan mampu membentuk Kerajaan Persekutuan.

Di Johor menurut Kit Siang, Pas tidak memenangi sebarang kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) dalam 10 PRU 1959-1999.

Pas hanya memenangi kerusi DUN pertama di Johor pada PRU 2004 dan beliau mendakwa Pas memperoleh dua kerusi Dun 2008 dan empat kerusi DUN 2013 di Johor, sebahagian besarnya datang daripada sokongan Dap dan PKR.

Menurut perkiraan beliau, Pas tidak akan memenangi sebarang kerusi jika berlaku pertandingan tiga penjuru di Johor.

Beliau turut mendakwa Nik Aziz, Fadhil Noor dan Yusuf Rawa tidak akan bersetuju dengan perjuangan Hadi yang mula menyokong BN. – Sarawakvoice