Hina lagu kebangsaan China boleh dipenjara 15 hari!

BEIJING: Beijing meluluskan undang-undang baharu membolehkan individu yang menghina lagu kebangsaan China ditahan polis untuk dipenjara 15 hari.

Undang-undang terbabit turut dikuat kuasa di wilayah autonomi Hong Kong dan Macau.

Menurut Reuters, undang-undang yang diluluskan oleh Kongres Rakyat Nasional China itu bertujuan “melindungi maruah lagu kebangsaan”.

Pada masa yang sama ia mahu meningkatkan “semangat patriotisme dan membentuk nilai teras sosialis”.

Undang-undang berkenaan turut menyatakan bagaimana, di mana dan bilakah lagu kebangsaan China itu boleh dimainkan.

Peraturan turut mengharamkan lagu tersebut digunakan sebagai lagu latar atau digunakan dalam iklan serta tidak boleh dimainkan semasa majlis pengebumian atau majlis lain yang tidak relevan.

Undang-undang tersebut membangkitkan kebimbangan dalam kalangan warga Hong Kong yang semakin risau dengan campur tangan Beijing di wilayah autonomi tersebut.

Menurut rekod lepas, pada 2014 ribuan warga Hong Kong menyertai “Revolusi Payung” menyuarakan rasa tidak puas hati terhadap campur tangan Beijing dalam sistem pilihan raya Hong Kong.

Sementara, pada 2015 sekumpulan peminat bola sepak Hong Kong menghina lagu kebangsaan China semasa perlawanan kelayakan Piala Dunia.

Insiden tersebut menyebabkan FIFA mendenda Persatuan Bola Sepak Hong Kong. – Sarawakvoice