FAS bakal teliti empat resume jurulatih yang tawar diri kendali Sarawak

0
4

KUCHING: Sekurang-kurangnya empat resume bakal diteliti kepimpinan Persatuan Bola Sepak Sarawak (FAS) bagi m.emilih jurulatih baharu untuk skuad negeri itu pada musim hadapan.

Resume ini akan dibentangkan jika persatuan ini memutuskan untuk tidak meneruskan khidmat David Usop sebagai pengendali utama skuad Bujang Senang pada musim depan, dan ia tidak termasuk Pengiran Bala, yang telah tersenarai awal.

Presiden Persatuan Bola Sepak Sarawak (FAS), Datuk Posa Majais mengesahkan bahawa pihaknya telah menerima dua resume tersebut.

“Salah satunya diterima daripada seorang jurulatih Eropah yang kini menabur bakti bersama-sama sebuah kelab ternama di Filipina.

“Manakala seorang lagi adalah daripada bekas pemain Sarawak, yang kini bertindak sebagai Penolong Jurulatih kepada Felda United.

Menurut sumber yang lain, dua lagi nama dalam senarai pencalonan ialah bekas jurulatih berpengalaman yang mengendalikan program kejurulatihan belia Sarawak, Mohamad Mentali, dan juga bekas pembantu jurulatih kepada Alan Vest, Lucas Kallang.

Ditanya akan perkembangan itu, Posa berkata, beliau ada mendengar tentang minat dua jurulatih tempatan ini, namun masih belum menerima “hitam putih”.

Skuad Sarawak, kini dikendalikan sementara oleh Pengiran Bala, selepas jurulatihnya David Usop mengambil keputusan berehat susulan prestasi buruk.

“David masih bersama kita namun kedudukannya akan ditentukan selepas Mesyuarat FAS sebelum atau selepas Liga Super berakhir,” katanya.

Katanya, beliau juga mahu melihat kedudukan akhir pasukan, sama ada kekal atau tidak dalam Liga Super pada musim depan sebelum membuat sebarang keputusan. – Sarawakvoice