KUCHING: Turun dari tingkat dua bangunan menggunakan hos getah menjadi perkara terakhir yang dilakukan oleh seorang lelaki sebelum cengkamannya menjadi licin, terjatuh dan hilang nyawa malam tadi.

Ketua Polis Daerah Kuching, Asisten Komisioner Abang Ahmad Abang Julai berkata, pihaknya dimaklumkan orang awam sekitar jam 9.28 malam tadi berhubung dengan penemuan mayat seorang lelaki dipercayai jatuh dari tingkat dua, Bangunan Kheng Chew, Jalan Ang Cheng Ho.

“Ketika anggota tiba, pasukan paramedik Hospital Umum Sarawak telah berada di lokasi kejadian dan mengesahkan kematian mangsa dengan terdapat kesan luka pada leher dan kepala.

Siasatan awal polis katanya, mendapati tidak terdapat sebarang unsur jenayah dalam insiden ini, dan mangsa dipercayai terjatuh dalam usahanya hendak turun dari tingkat dua bangunan tersebut dengan menggunakan getah paip yang dijumpai berdekatan.

“Mayat mangsa kemudian dibawa ke hospital untuk proses bedah siasat.

Identiti mangsa katanya, kemudian dikenal pasti sebagai Mun Joon Sen, berbangsa Cina, berusia 51 tahun dan berasal dari Batu Enam, Jalan Penrissen.

Kematian mangsa diklasifikasikan sebagai mati mengejut. – Sarawakvoice