KUALA LUMPUR: Gabungan Ahli Sunah Malaysia (Gasma) pada 25 November 2016 menyerah memorandum kepada kedutaan Myanmar di Kuala Lumpur melalui Timbalan Presidennya Ustaz Ahmad Fazrin Yahaya.

Antara isi kandungan memorandum tersebut menggesa kerajaan Myanmar agar menamatkan konflik penganut agama Buddha dengan minoriti Muslim Rohingya terutama di Arakan yang berlaku sekian lama.

Memorandum tersebut yang dikemukakan Gasma dianggotai 75 NGO Islam, berharap kerajaan Malaysia dapat melobi Pertubuhan Bangsa Bersatu (PBB) agar dapat memainkan peranan lebih serius mendesak Myanmar menyelesaikan konflik ini secepat mungkin.

Presiden Gasma Dr. Fadlan Mohd Othman dalam kenyataan medianya hari ini mengimbau harapan tersebut dan berkata, sudah sembilan bulan berlalu, konflik berdarah tersebut berterusan dan tiada percubaan kerajaan Myanmar mahu menamatkannya.

Sebaliknya, kekejamaan dan kezaliman kerajaan Myanmar berterusan membiarkan rakyat Rohingya dibantai, dibunuh, diseksa, dan dihalau dari rumah mereka tanpa belas kasihan dan rasa perikemanusiaan.

Gasma melahirkan rasa kesal terhadap sikap sambil lewa negara kuasa dunia berdepan konflik ini.

Bagi Gasma, apalah ertinya Resolusi Hak Asasi Manusia digubal oleh PBB andainya niat mereka membiarkan sebahagian bangsa mendera dan menyeksa sebahagian yang lain?

Gasma turut menyeru seluruh rakyat Malaysia khasnya dan warga dunia amnya sama-sama berganding bahu membantu saudara seagama dan sesama manusia di Myanmar.

Ini termasuk menghulurkan bantuan dalam kemanusiaan, kewangan dan sekurang-kurangnya berdoa kepada Allah kerana doa senjata bagi orang beriman menyerah serta menyandarkan semua urusan dan harapan.

Gasma sekali lagi menggesa kerajaan Malaysia terus membantu mangsa konflik ini sama ada secara politik mahupun bantuan lain.