Monday, December 5, 2022

Saya tetap Bidayuh, walau anuti Islam — Hussein Banyak

Secara Rawak

KUCHING: “Saya tetap Bidayuh, walau menganuti agama Islam,” kata Ketua Kampung Darul Islam Belimbing, Hussein Banyak, di sini pagi tadi.

Katanya, tiada istilah “masuk Melayu” kerana terdapat perbezaan yang luas di antara agama dan kaum.

“Semua pihak harus memahami dan memghormati itu, dan keputusan memeluk Islam adalah hak peribadi kami,” jelasnya.

Katanya, beliau memeluk Islam sejak tahun 1975, tetapi penduduk di Kampung Darul Islam Belimbing di kawasan Padawan ini mula menerima “hidayah” sejak 1969.

“Seramai 14 orang penduduk di sini telah memeluk Islam pada ketika itu dan proses ini disempurnakan oleh Askar Melayu Diraja yang berpangkalan di Kem Padawan.

Mereka kemudian diurus dan dididik oleh pendakwah Jabatan Agama Islam Sarawak dan Harakiah Islamiah (Hikmah)sejak tahun 1970, sebelum dijadikan “anak angkat” Markas Pemerintahan Medan Timur Tentera Darat sejak tiga tahun lalu; dan mendapat bimbingan terus daripad Kor Agama Angkatan Tentera (Kagat).

Dedahnya, sejak memeluk Islam, mereka berhadapan cabaran yang cukup getir, termasuk dipinggirkan masyarakat.

“Namun kami dapat menghadapinya dengan fikiran terbuka, dan hari ini, masyarakat di sekitar kawasan ini sudah dapat menerimanya,” katanya lagi.

Hussein berkata, terdapat 120 keluarga Islam yang berpusat di kampung ini, manakala 40 lagi di kawasan sekitarnya.

“Untuk memastikan keteguhan dakwah, pihak kami menjayakan sekurang-kurangnya lima program besar berbentuk keagamaan setahun.

Sebanyak tiga ekor lembu ditumbangkan di kampung ini sejak semalam, dengan seekor daripadanya disumbangkan Markas Pemerintahan Medan Timur Tentera Darat pada hari ini.

Penyerahan lembu disempurnakan Panglima Medan Timur, Leftenan Jeneral Datuk Wira Mohd Zaki Mokhtar, sambil disaksikan Ketua Staf Am Pemerintahan Medan Timur, Brigedier Jeneral Datuk Subari Tomo.

Selain 100 anggota tentera dan penduduk kampung, hadir sama ialah ahli Badan Kebajikan Keluarga Angkatan Tentera (Bakat) dari markas yang sama. – Sarawakvoice

Ikuti Facebook Kami

Artikel Terbaru