Thursday, September 29, 2022

Kerajaan digesa segera beri perhatian kepada kemudahan pelajaran sekolah luar bandar di Sarawak

Secara Rawak

KUCHING: Untuk sekian lama kemudahan sekolah di luar bandar di Sarawak diakui dalam keadaan daif.

Kedaifan kemudahan tersebut diakui antara punca prestasi murid dan pelajar luar bandar terjejas.

Berbanding kemudahan sekolah di bandar ia bagai langit dengan bumi, kata guru yang mengajar di luar bandar dan pedalaman Sarawak.

Hakikat tersebut dan guru yang tidak bermotivasi antara punca prestasi buruk sekolah luar bandar diakui Kementerian Pelajaran Malaysia, kata seorang menteri seperti dipetik sebuah akhbar tempatan hari ini.

Anehnya, mengapakah keadaan ini berterusan selepas pembentukan Malaysia 54 tahun lalu.

Untuk itu, difahamkan kerajaan negeri akan menggunakan sumber yang ada untuk memperbaik keadaan bagi memastikan masalah yang dihadapi tidak berlarutan.

Memang tidak wajar, kata ibu bapa yang ditemui untuk membiarkan keadaan itu kerana ini tidak adil kepada murid luar bandar.

Sudahlah mereka miskin dan serba kekurangan, kemudahan sekolah dan guru di bandar lebih baik dan berpengalaman.

Kalau tidak, kata mereka, ketidaksaksamaan ekonomi akan berterusan.

“Mobiliti sosial secara menegak hanya akan berlaku jika mereka mempunyai pelajaran tinggi. Dalam keadaan kemudahan tidak setanding dengan di bandar bagaimana ini dapat dicapai,” tanya mereka.

Justeru mereka menggesa agar kemudahan seperti perpustakaan, makmal dan asrama diberi perhatian segera.

Mereka mengharapkan agar Bajet 2018 memberi peruntukan yang munasabah untuk menyelesaikan masalah pendidikan yang sudah berlarutan di Sarawak. – Sarawakvoice

Gambar hiasan

Ikuti Facebook Kami

Artikel Terbaru