Bujang Kabak berpisah dengan keluarga dan rakan,berkelana ke Sibu untuk hidup baharu

0
11

SARATOK: Bujang Kabak terpaksa mengucapkan selamat tinggal kepada rakan-rakan dan sanak saudara di habitat asalnya di sungai Kampung Kaba apabila terpaksa akur dengan takdir dan berkelana ke tempat baharu dengan Sibu menjadi tempat tinggal sementaranya pada hari ini.

Buaya jantan yang pada mulanya disangka buaya betina ketika mula-mula penduduk memberkasnya akhirnya dikenal pasti jantina sebenarnya ketika penduduk mengangkatnya ke dalam kenderaan untuk membawanya ke Sibu.

Nama Bujang Kabak akhirnya diberikan penduduk kepada buaya berkenaan sebagai pengenalan identitinya bagi memudahkan petugas dihabitat baharu ketika ia ditempatkan di pusat lindungan hidupan liar kerajaan selepas ini.

Buaya berkenaan yang berjaya ditawan jerat yang dipasang penduduk pada pagi Hari Raya Korban terjebak ketika dipercayai sedang mencari makanan di sekitar parit berhampiran rumah penduduk.

Loboi Kim, 50, individu yang terlibat sepenuhnya sewaktu memasung dan seterusnya membantu menaikkan Bujang Kabak ke kenderaan pacuan empat roda memberitahu pihak penduduk berharap buaya seberat 350 kilogram itu akan dijaga dengan sebaik mungkin di habitat baharu kelak.

Loboi yang mengimbas kembali cerita sebelum Bujang Kabak ditawan menyatakan beberapa tahun lalu buaya itu sering berkeliaran d pangkalan perahu kampung itu dan apabila air pasang besar buaya terbabit mula berenang ke kawasan bawah kediaman penduduk.

“Bukan seekor tetap beberapa ekor. Sejak itu penduduk berasa terancam.Haiwan ternakan penduduk banyak yang telah jadi mangsa.

“Pada 16 Jun lalu, Bujang Kabak telah kena jerat. Namun jerat telah putus dan buaya itu terlepas. Ketika ia berjaya kami tangkap masih ada tali jerat lama di badannya,”ujarnya.

Usaha membawa Bujang Kabak ke Sibu kira-kira jam 5.30 petang semalam turut disertai Zamir Othman ,31, salah seorang penduduk kampung Kaba.

“Petang semalam kira-kira pukul 5.30 petang Zamir bersama 6 rakannya telah membawa Bujang Kabak ke Sibu untuk diserahkan kepada pihak Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Sibu. Pada jam 9 pagi tadi secara rasminya haiwan tersebut diserahkan kepada pihak APM.

“Kita amat mengharapkan pihak terlibat akan segera menyerahkan Bujang Kabak kepada pihak bertanggungjawab (Perhilitan) di pusat lindungan buaya bagi menjaga buaya tersebut. Seorang pegawai APM memberitahu akan segera menghubungi Perhilitan untuk mengambil Bujang Kabak,” jelasnya lanjut.

Tambah Loboi sebagai penduduk mereka mengharapkan pihak yang bertanggung akan mengambil perhatian dan tindakan yang sepatutnya bagi mengurangkan bilangan buaya dewasa di sungai kampung tersebut.

“Kami penduduk juga berharap pihak kerajaan dapat membantu membina ban (benteng) bagi mengelakkan buaya memasuki kawasan kediaman penduduk,” tambahnya. – Sarawakvoice