Saturday, October 8, 2022

Mangsa rogol sekeluarga mahu jaga sendiri anak, enggan kembali ke rumah — Fatimah

Secara Rawak

KUCHING: Dua beradik mangsa kes rogol di Kampung Daha Saroban, Serian kini ditempatkan di rumah perlindungan Taman Sri Puteri, Telaga Air di sini.

Menteri Kebajikan, Kesejahteraan Komuniti, Wanita, Keluarga dan Pembangunan Kanak-Kanak, Datuk Fatimah Abdullah berkata, mangsa telah membuat keputusan untuk tidak mahu lagi kembali ke rumah asalnya.

“Mangsa masih trauma dengan apa yang berlaku terhadap dirinya hingga mengandung lebih 28 minggu sekarang, dan berasa tidak selamat jika balik ke rumah tersebut,” katanya ketika menjawab soalan media di pejabatnya semalam.

Mangsa yang berusia 19 tahun, dirogol oleh empat anggota keluarga termasuk bapa kandung dan datuknya sejak lima tahun lalu, kini menunggu masa untuk melahirkan bayinya.

Kata Fatimah, wanita cekal itu juga telah menyatakan hasratnya untuk memelihara sendiri anaknya dan tidak mahu menyerahkannya untul diangkat atau dijaga oleh pihak lain.

“Pegawai pelindung kita kini sedang merancang jenis bantuan yang sesuai untuk membantu mangsa dan anaknya apabila lahir kelak.

“Jika mangsa tidak bekerja, kita akan lihat jenis bantuan yang sesuai sama ada dari segi tempat tinggal atau bantuan kebajikan lain di bawah Skim Bantuan Kanak-Kanak,” ujarnya.

Pada Jumaat lalu, empat beranak iaitu datuk, bapa kandung dan dua bapa saudara mangsa telah dijatuhkan hukuman penjara di antara 25 hingga 30 tahun dan 24 sebatan setiap seorang oleh Mahkamah Sesyen Kota Samarahan kerana melakukan sumbang mahram terhadap mangsa yang berusia 19 dan 14 tahun.

“Kesemua mereka telah dijatuhkan hukuman yang panjang dan berkemungkinan mangsa akan mengubah pendirian untuk kembali ke rumah asalnya.

“Pegawai pelindung kita akan menilai sama ada selamat atau tidak untuk mereka balik ke rumah tersebut,” kata Fatimah lagi.

Jika tidak selamat, tambahnya, pihaknya akan memohon perintah mahkamah untuk meletakkan kedua-dua adik beradik ini di rumah perlindungan. – Sarawakvoice

Ikuti Facebook Kami

Artikel Terbaru