Monday, December 5, 2022

Kekalahan pasukan Harimau Muda dirai dengan “Blackout” luar biasa di Kabong

Secara Rawak

KABONG:Penduduk di sini yang turut sugul dan kecewa dengan kegagalan pasukan muda negara mendapatkan pingat emas dalam acara bola sepak malam tadi setelah tumpas di tangan pasukan Thailand dengan jaringan 0 -1, dalam saingan Sukan Sea “dirai” dengan “ Blackout ” luar biasa yang bermula dari jam 11.50 malam dan berlarutan hingga jam 2 petang hari ini.

Ketika berita ini ditulis dalam pukul 2.30 petang baharulah pulih sepenuhnya bekalan elektrik yang membolehkan semua perkhidmatan berkaitan dengan tenaga elektrik dapat beroperasi.

Malam tadi, beberapa orang penduduk yang membuat aduan kerosakan dengan menghubungi pihak yang berkenaan namun hanya mendapat respons ringkas daripada pihak terlibat yang hanya menjawab:“Ya, kami tahu Kabong blackout”. Dan jawapan itu bernoktah di situ tanpa penjelasan lanjut yang jelas.

Seorang penduduk yang enggan namanya disiarkan memberitahu dia yang membuat panggilan telefon untuk membuat aduan malam tadi begitu terkilan dengan cara pihak terlibat memberi respons.

“Pihak terlibat ketika sesi dialog dengan penduduk bar-baru ini menyatakan kesediaan untuk memberi perkhidmatan mesra pengguna dan sedia menerima aduan serta berjanji akan memberi perkhidmatan terbaik. Tapi apabila berlaku masalah gangguan bekalan elektrik mereka tidak mengamalkan apa yang dinyatakan masa dialog,” ujarnya kesal.

Susulan blackout luar biasa itu, Persiapan penduduk yang hendak mengadakan majlis perkahwinan turut terjejas. Tidak terkecuali persiapan untuk sambutan Hari Kebangsaan yang mebabitkan 103 kontijen yang hendak membuat sesi raptai akhir .

Ramai peniaga merungut kerana mengalami kerugian lantaran barangan basah dalam peti sejuk penduduk dan peniaga seperti ikan dan daging banyak yang membusuk.

Lebih parah apabila tiada bekalan elektrik bekalan air juga turut terputus kerana enjin pam air di rumah penduduk tidak dapat berfungsi.

Liputan telefon selular juga bermasalah apabila berlaku gangguan bekalan elektrik sedemikian.

Masalah terputus bekalan elektrik di kawasan ini kini semakin kerap berlaku sejak kebelakangan ini.

Derita yang ditanggung penduduk berganda apabila banyak alatan elektrik rosak akibat gangguan bekalan elektrik yang begitu kerap.

Sehubungan dengan masalah yang kian membengkak itu pihak penduduk berharap tindakan terbaik bagi mengatasi maslah ini sangat-sangat diharapkan agar perkara berkenaan tidak menjadi penanda aras negatif bagi kawasan ini yang sememangnya telah terbeban dengan pelbagai isu berkaitan kemudahan asas yang masih berada pada takuk bawahan ketika negara rancak mencanang langkah ke negara maju menjelang 2020. – Sarawakvoice

Ikuti Facebook Kami

Artikel Terbaru