KUCHING: Adakah Sarawak United Peoples’ Party (SUPP) yang mewakili masyarakat Cina di Sarawak mampu merampas balik kerusi yang kini dalam genggaman DAP dan PKR?

Adakah Presidennya Datuk Dr Sim Kui Hian yang menang di Batu Kawa dalam pilihan raya negeri lalu, punya keberanian untuk tampilkan muka baharu?

Sim perlu punya keberanian politik untuk berdepan UPP pimpinan Wong Soon Koh.

Dan, lebih penting tampil dengan senarai calon yang berwibawa pada PRU-14.

Untuk itu, ketika bersemuka dengan media di majlis Program ‘Kembara Jiran’ di Batu Kawa semalam, Sim yang mesra rakyat itu mengakui telah mengemukakan senarai rahsia kepada Pengerusi Barisan Nasional (BN) Datuk Amar Abang Johari Tun Openg.

Difahamkan beberapa nama disenaraikan untuk setiap kawasan yang bakal diwakilinya.

Kerusi Parlimen SUPP kebanyakannya terletak di bandar, dengan pengundi majoriti Cina.

Pada PRU 2013, SUPP bertanding di tujuh kerusi, dan hanya menang di Serian, kawasan majoriti Bidayuh,  melalui Datuk Seri Richard Riot.

Parti tertua di Sarawak itu ditubuhkan pada 1959  ketika masih pada zaman pemerintahan penjajah British.

Pengasasnya ialah Ong Kee Hui dan Stephen Yong.

Pada PRU-13 SUPP tewas kepada DAP di Bandar Kuching, Stampin, Sibu, Lanang dan Sarikei. Manakala kerusi Miri kalah kepada PKR.

Kekalahan itu menyaksikan untuk pertama kali sejak menyertai Barisan Nasional pada 1976, SUPP tidak punya wakil di Kabinet Persekutuan.

Namun, Dr Sim,  Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan seperti dijangka enggan mendedahkan senarai nama calon berkenaan.

Keputusan muktamad terletak pada Pengerusi BN pusat, Datuk Seri Najib Razak dan Negeri, Abang Johari.

Bagi Dr Sim, yang penting mereka ini berkhidmat untuk rakyat dengan jujur, dan bukan hanya untuk tujuan publisiti.

Mengakui SUPP telah bersedia berdepan PRU-14 yang dijangka diadakan Mac atau April tahun depan, Dr Sim, bagaimanapun, menegaskan kemungkinan senarai berkenaan berubah menjelang PRU nanti, tertakluk kepada prestasi calon terbabit.

“Sukar untuk SUPP merampas balik kerusi yang kini dalam genggaman pembangkang. Kalaupun ada, kerusi berpotensi hanya Sarikei,” kata seorang penganalisis politik.

DAP hanya menang dengan majoriti lebih 500 undi pada PRU lalu di Sarikei. – Sarawakvoice