Apabila Aziz mengamuk, salah fakta terhadap Petros, di mana hendak letak muka

0
5

Pasti luluh perasaan, dan “tebal muka” kuda tunggangan Chong Chieng Jen, Abdul Aziz Isa apabila Timbala Ketua Menteri, Datuk Amar Douglas Uggah memberitahu, pihaknya sedang mengenal pasti seorang lagi Ahli Lembaga Pengarah Petroleum Sarawak Berhad (Petros) dalam kalangan profesional minyak dan gas yang bukan beragama Islam.

Luluh kerana tindakan Datuk Amar Abang Johari Tun Openg itu, menafikan ruangnya untuk mengkritik dan mencipta isu, mahupun menjadi jaguh parti menjelang Pilihan Raya Parlimen yang akan berlaku bila-bila masa.

Benar, anak muda yang bercita-cita menjadi “wakil rakyat” ini adalah seorang yang terlalu gopoh-gapah dan sangat mengejar populariti, seperti mana dia menyamakan dirinya dengan personaliti Khairy Jamaluddin.

Lebih memalukan, sewaktu pengumuman Petros, Aziz pantas memaklumkan bahawa tiada wakil “Dayak” dalam kalangan lembaga pengarah itu, tanpa menyedari Datuk Seri Medan Abdullah adalah berketurunan Kelabit. Hmm…di mana nak letak muka?

Tetapi itulah watak sebenar Parti Tindakan Demokratik (DAP) — mengaitkan urusan sepenting Petros dan Bank Pembangunan Sarawak (DBOS), mahupun pembinaan Aliran Transit Ringan (LRT) dengan politik dan perkauman, walhal ia adalah atas urusan membina masa depan Sarawak.

Kepada Aziz, mengkritik memang sedap dan enak. Tetapi sebelum mengkritik, sila hadam semua fakta. Adakah tujuan sebenar anda adalah untuk mensabotajkan masa depan Sarawak, demi survival politik peribadi?

Sebagai rakyat Sarawak, kami membaca usaha “berani” Kerajaan Negeri bukan untuk meraih populariti, mahupun mencipta kesenangan peribadi.

Ia adalah usaha untuk merealisasi penciptaan iklim ekonomi baharu Sarawak. Petros mahupun DBOS perlu ditukangi oleh profesional dan mereka yang mahir. Tidak kira apa bangsa atau agamanya, yang penting, individu yang dilantik dapat membawa semangat Sarawak dan mampu melaksana amanah dengan cekap.

Yang lebih penting, mereka memiliki rantaian pengalaman dan rangkaian sahabat di serata dunia, yang membolehkan syarikat yang baharu bertatih ini dapat berkembang dan maju dan pantas.

Oleh itu, padamlah gejolak semangat perkauman yang terlampau tinggi, dan kesangsian yang terlalu menebal kerana ia tidak akan membawa kita ke mana.

Sarawak perlu bersatu sebagai satu entiti, tidak kira warna kulit dan bangsa jika mahu maju. Tiada diskriminasi akan wujud di negeri ini kerana ia akan hanya membawa rebah, dan meletakkan Sarawak jauh ke belakang.

Untuk menyegarkan Aziz dan rakan-rakannya, berikut adalah latar belakang tokoh di sebalik Petros.

Pengerusi Lembaga Pengarahnya ialah
Tan Sri Hamid Bugo yang pernah menjawat Setiausaha Kerajaan Negeri.

Beliau kini merupakan pengarah syarikat awam dan swasta yang terkemuka di Malaysia, termasuk Malaysia Airlines Bhd, Kumpulan Wang Simpanan Pekerja Malaysia dan Malaysia LNG Sdn Bhd.

Bertindak sebagai Pengerusi Lembaga Pengurusan Perpustakaan Negeri Sarawak, Hamid turut aktif sebagai Pengerusi Yayasan Kemajuan Insan Sarawak (YAKIN), Ahli Lembaga Lembaga Amanah Kebajikan Masjid Sarawak, Ahli Majlis Institut Integriti Malaysia dan ahli Kumpulan Orang Cemerlang (EPG) untuk Malaysia-Indonesia.

Beliau adalah Ahli Jawatankuasa Penasihat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia dan Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara.

Datuk Seri Mohammad Medan Abdullah pula merupakan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Bintulu Port Holdings Bhd. selain Pengerusi Orkestra Philharmonic Malaysia, Pengerusi Petrofibre Network (M) Sdn. Bhd., Pengerusi Petronas Hartabina Sdn. Bhd., Pengerusi Petrosains Sdn. Bhd., Pengerusi Prbf Holdings Corp. Sdn. Bhd., Pengerusi Prbf Properties Sdn. Bhd. dan Pengerusi Sanzbury Stead Sdn. Bhd.

Beliau yang berbangsa Kelabit dari Bario merupakan ahli Institut Setiausaha & Pentadbir Berkanun, ahli Persatuan Bar Antarabangsa dan ahli Institut Setiausaha dan Pentadbir Bertauliah Malaysia.

Medan berkhidmat di Lembaga Pengarah Malaysian Jet Services Sdn. Bhd., Petronas ICT Sdn. Bhd., Petronas LNG Ltd. dan Petronas Property Holdings Sdn. Bhd selain pernah berkhidmat sebagai Pengarah Bebas Bukan Eksekutif Petronas Gas Bhd, Petronas Dagangan Bhd serta menjawat Pengurus Besar Kanan-Hal Ehwal Korporat Kumpulan oleh Petroliam Nasional Bhd, dan Pengerusi PETRONAS Assets Sdn. Bhd.

Lulusan Universiti Malaya ini juga pernah berkhidmat di Prince Court Medical Centre Sdn. Bhd.

Sharbini Suhaili pula merupakan Ketua Pegawai Eksekutif Sarawak Energy Berhad sejak 1 November 2016.

Pernah berkhidmat sebagai Naib Presiden Kesihatan, Keselamatan & Alam Sekeliling di Petroliam Nasional Berhad, Sharbini memulakan kerjayanya dengan Shell Royal Dutch pada tahun 1986 sebagai jurutera saluran paip.

Beliau kemudian memegang pelbagai jawatan di Shell Malaysia dan luar negara, termasuk peranan kanan dalam komersil, perancangan, strategi dan pembangunan perniagaan.

Beliau merupakan Pengurus Besar operasi huluan Sabah Shell Malaysia dan mengetuai usahasama mereka sebelum menyertai PETRONAS pada tahun 2010 sebagai Naib Presiden Pengeluaran Antarabangsa untuk Huluan.

Pengarah Jabatan Kerja Raya , Ir Zuraimi Sabki merupakan bekas Ketua Pegawai Eksekutif dan Pengurus Besar Brooke Dockyard and Engineering Works Corporation. Beliau juga pernah berkhidmat dengan Shell pada awal kariernya.

Heng Hock Cheng pula merupakan nama besar yang pernah berkhidmat sebagai Pengarah Urusan Shell Gas & Power Malaysia.

Cheng bersara dari Shell pada Oktober 2006 selepas 34 tahun berkhidmat merangkumi bahagian Hulu, Hiliran, Gas & Kuasa.

Beliau pernah berkhidmat dengan pelbagai entiti Shell di Malaysia, United Kingdom, Belanda dan China, termasuk sebagai Pengerusi Shell China yang berpangkalan di Beijing.

Kini beliau berkhidmat sebagai Pengarah Bebas Bukan Eksekutif Malaysia Marine & Heavy Engineering Sdn Bhd dan PETRONAS Gas Berhad.

Beliau juga berkhidmat sebagai Pengarah AET Tankers Holdings Sdn Bhd, AET Shipmanagement (Malaysia) Sdn Bhd dan AET Shipmanagement (Singapore) Pte Ltd. selain sebagai Pengarah Bebas Otto Marine Limited (Singapura).

Beliau adalah Pengarah Bebas Bukan Eksekutif Shell Refining Company (Persekutuan Malaya) Berhad sejak 1 April 2016 dan berkhidmat sebagai Pengarah Bebas Bukan Eksekutif Malaysia Marin & Heavy Engineering Holdings Berhad, sebuah syarikat tersenarai awam Malaysia.

Dengan reputasi dan kredibiliti besar dalam kalangan Lembaga Pengarahnya, Aziz perlu berfikir panjang sebelum membuat hujahan dan firnah.

Pemilihan Ahli Lembaga Pengarah Petros adalah bersandarkan pengalaman dan keupayaan, jauh sekali berkomposisikan perkauman.

Di atas kertas, Ir Zuraimi berpotensi untuk muncul Ketua Pegawai Eksekutif pertama Petros, dan jika ini berlaku, apa lagi agaknya tohmahan kuda hitam tunggangan Chieng Jen ini. – Sarawakvoice