Video ngeri, taufan Hato 160 km sejam hentam Macau, Hong Kong

0
9

BEIJING: Ngeri menyaksikan banyak rakaman video pendek beredar di media sosial menunjukkan fenomena Taufan Hato berkelajuan 160 kilometer sejam menghentam beberapa wilayah selatan China dan Hong Kong, Khamis lepas.

Seramai 60 juta orang di kawasan padat penduduk terdedah kepada jalur laluan taufan ini.

Tragedi dahsyat itu mengorbankan 16 jiwa setakat ini, selain menyebabkan berlaku banyak bencana lain termasuk berlaku tanah runtuh di Kota Zhuhai, Guangdong.

Jurucakap kerajaan di Macau menyifatkan ribut kuat dalam tempoh 53 tahun ini melanda bandar.

Foto dan video yang disiarkan di media sosial semasa ribut menunjukkan gelombang meletup, perancah runtuh dan berlaku banjir kilat di seluruh pulau.

Kerajaan Macau berkata usaha memulihkan bekalan air dan elektrik ke bandar raya itu masih dilakukan.

Taufan Hato turut dirakam menerjang bangunan pencakar langit di Hong Kong, selain memadamkan bekalan elektrik.

Hato yang bermaksud “merpati” dalam bahasa Jepun, ditandakan sebagai Taufan Kategori 10, kategori paling berbahaya dalam tempoh lima tahun.

Menurut kerajaan Hong Kong, hampir 700 laporan pokok tumbang diterima di seluruh bandar pada waktu petang.

Manakala, lebih 100 orang mendapatkan rawatan perubatan.

Kebanyakan perniagaan ditutup apabila ribut melanda, begitu juga dengan pasaran saham hab kewangan.

Bencana alam kali ini dianggap sebagai badai ketiga dengan kekuatan dahsyat yang menggoncang Hong Kong.

Menurut laporan media setempat, banyak kenderaan terendam banjir dan warga terpaksa berenang di sepanjang jalan yang digenangi air sehingga paras 3.7 meter di pulau.

Di Pulau Lantau tapak Lapangan Terbang Antarabangsa Hong Kong, angin kenang bertiup 77 hingga 127 kilometer sejam.

Kira-kira 480 penerbangan dibatalkan pada petang Rabu, kata pegawai lapangan terbang.

Sementara, pada Khamis laman sesawang mereka masih memberi amaran tentang kemungkinan penangguhan.

Bangunan terpaksa menggunakan generator simpanan bagi tujuan bekalan elektrik.

Di Macau, pihak berkuasa mengerahkan 1,000 tentera menyokong usaha bantuan bencana. – Sarawakvoice