Indonesia kehilangan 3 pemain utama bertemu Malaysia malam Sabtu

JAKARTA:  Pertemuan Malaysia dengan Indonesia dalam bola sepak sentiasa dinanti-nati dengan penuh debar di kedua-dua negara  tetangga.

Malaysia dan Indonesia akan berebut tiket ke final bagi memburu ibu segala emas.

Indonesia resah bakal kehilangan tiga pemain utama ketika  muncul di pentas semifinal.

Hansamu Yama, Muhammad Hargianto dan Marinus Wanewar tidak dapat bermain kerana akumulasi kad kuning.

Di sebalik kekecohan dan kemarahan 250 juta rakyat Indonesia terhadap isu Sang Saka Merah Putih yang terbalik dalam buku cenderamata, pertemuan peringkat semifinal antara kedua-dua pasukan pasti membawa maksud yang lebih daripada sekadar 22 pemain mengejar sebiji bola di Stadium Shah Alam malam Sabtu ini.

Ini soal maruah bangsa.

Jadi, tidak hairan para pemain kedua-dua pasukan pasti akan bertarung sehabis keringat dan tenaga.

Pasukan Garuda Muda Indonesia menang selepas menumpaskan Kemboja dengan jaringan 2-0 pada pertandingan terakhir penyisihan Kumpulan B SEA Games 2017  di Stadium Shah Alam.

Semifinal satu lagi antara Thailand dengan Myanmar di Selayang. 

Dengan itu, Indonesia layak  ke semifinal dengan membawa 11 mata, berbanding Malaysia yang menang semua permainan, dengan 12 mata selepas menewaskan Brunei, Singapura dan Laos.

Sepanjang ikut serta di SEA Games, pasukan Indonesia baru sekali bertemu Malaysia di semifinal pada SEA Games 2013 di Myanmar. – Sarawakvoice