Tuesday, May 11, 2021

Ada apa dengan PKR dan Pas?

Mesti baca

Ya, ada apa dengan PKR dengan Pas? Mereka bagai tidak dapat membuat keputusan muktamad dan pasti.

Meskipun Pas berkali-kali menzahirkan kenyataan tegas tidak akan bekerjasama dengan Pakatan Harapan selagi DAP menganggotainya, namun PKR bagai tidak menyerah kalah.

Bukankah kerjasama politik telah diputuskan?

Jadi mengapa bagai suami gila talak?

Adakah PKR yakin parti Islam pimpinan Datuk Seri Abdul Hadi Awang itu dapat dipujuk juga akhirnya supaya berjuang bersama-sama pakatan pembangkang?

Atau hal ini membayangkan ketidakyakinan PKR bahawa tanpa Pas, pakatan pembangkang tidak akan dapat menumbangkan Barisan Nasional (BN) dalam pilihan raya umum nanti?

Kunjungan presiden dan timbalan presiden PKR terhadap Abdul Hadi baru-baru ini mencetuskan pelbagai tanggapan, malah konflik dalam PKR.

Ketika Wan Azizah Wan Ismail dan Azmin Ali kelihatan bekeras mahu terus bersama-sama Pas, sebahagian besar ahli dan pemimpinnya tidak bersikap demikian.

Mengapakah pimpinan PKR Kelantan tidak mematuhi arahan badan politiknya untuk anggota yang mendapat lantikan politik daripada Pas supaya meletakkan jawatan di negeri terbabit?

Tentu, tindakan sedemikian memberi mesej bahawa PKR sesungguhnya masih bekeras mahu bersama-sama Pas ketika tiga parti komponen lain mempunyai pendirian berbeza.

Masa yang mencukupi telah diberi kepada Pas untuk buat keputusan.

Jadi, bagi mereka, tidak ada sebab untuk terus memujuk Pas.

Seorang daripada pemimpin PKR yang tidak bersetuju dengan langkah berbaik-baik semula dan bekerjasama dengan Pas pada PRU-14 nanti ialah William Leong.

Justeru, beliau meletakkan jawatannya dalam Biro Politik PKR semalam.

Difahamkan, kini dilaporkan sudah beberapa sepanduk dinaikkan di sekitar Kuala Lumpur awal pagi tadi termasuk di Segambut, Batu dan Wangsa Maju sebagai menyokong tindakan Leong itu.

Mengukut penganalisis, sebahagian anggota PKR  untuk sekian lama memang tidak berpuas hati dengan  pendirian  sesetengah pemimpin parti terbabit yang dianggap nampak terdesak untuk berunding dengan Pas.

Sepatutnya bagi kebanyakan ahli dan penyokong PKR, tumpuan perlu diberi untuk melakarkan strategi terbaik jika berlaku pertandingan tiga penjuru?

Mereka berpendirian Pakatan Harapan, tidak harus terus berunding dan berlembut dengan Pas.

Maksudnya, mereka perlu mengambil sikap, jika kau tak hendak, aku pun tak ingin.

Tetapi, PKR ternyata begitu terdesak untuk terus bekerjasama dengan Pas meskipun tindakan itu ternyata mencalarkan imej Pakatan Harapan. – Sarawakvoice

Secara Rawak

Artikel Terbaru