Nampaknya pemimpin politik masing-masing mahu memperalatkan penubuhan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI). Perkara ini harus dihentikan segera kerana hanya membazirkan wang dan masa.

Selepas RCI mengenai kehilangan wang oleh Bank Negara kerana terlibat dengan pemerdagangan mata wang asing pada (Forex) 25 tahun lalu diwujudkan, kini semakin banyak kedengaran permintaan supaya RCI mengenai peristiwa Memali yang berlaku 32 tahun lalu dibuka semula.

Mungkin banyak orang tidak tahu apa yang berlaku pada tahun 1992 apabila Bank Negara umum kerugian RM9.3 billion dan 1985 apabila pihak keselamatan mengumumkan 18 orang terbunuh di Memali, Kedah.

Tetapi ada orang sedar bahawa isu-isu ini ditimbulkan semula untuk mendedahkan episod hitam semasa pentadbiran Tun Dr Mahathir Mohamad suatu masa dahulu.

Memang benar Tun Mahathir yang kini menjadi de facto ketua pembangkang begitu galak menyerang dan memaki hamun kepemimpinan negara yang ada sekarang. Tetapi mengorek kesilapan, yang disifatkan sesetengah orang sebagai jenayah yang dilakukan Tun Mahathir pada masa lalu, bukanlah suatu strategi yang bijak.

Tun Mahathir mentadbir selama 22 tahun, sudah tentu banyak kesilapan yang beliau lakukan. Tetapi harus diingat, Tun Mahathir pada masa itu ialah pemimpin nombor satu  Barisan Nasional (BN).  Jika Tun Mahathir melakukan kesilapan, maka BN juga harus bertanggungjawab.

Masyarakat akan bertanya, kenapa BN tidak mengambil tindakan terhadap Tun Mahathir pada masa itu, dan kenapa baru sekarang?

Memang benar Bank Negara Malaysia terlibat dengan Forex, tetapi nilai ringgit pada masa itu tidaklah seteruk pada hari ini. Jika untuk memastikan nilai ringgit tidak jatuh dan harga barangan import tidak melambung naik memerlukan kerajaan berbelanja sebanyak RM31 bilion, apa asas perundangan untuk mengatakan perkara tersebut telah melanggar undang-undang?

Bagaimana pula dengan tindakan Tun Mahathir dan mantan Timbalan Gabenor Bank Negara, iaitu Nor Mohamed Yaacob menyelamatkan mata wang ringgit daripada jatuh dengan teruk semasa krisis ekonomi tahun 1997-98. Nor Mohamed dilantik sebagai Timbalan Menteri Kewangan II semasa zaman Tun M dan zaman Tun Abdullah Ahmad Badawi.

Pemimpin BN sepatutnya harus belajar daripada kesilapan Abdullah Badawi yang membuka banyak RCI semasa pentadbiran beliau. Akhirnya semua skandal yang dibuka tersebut kembali semula kepada BN sehingga menyebabkan Pak Lah kehilangan majoriti 2/3 kerusi parlimen selepas PRU-12 pada 2008.

Pengalaman  penubuhan RCI pada masa lalu menunjukkan tidak semua orang setuju dengan apa yang dilaporkan kemudiannya.

Sebaliknya, isu-isu yang timbul semasa proses penyiasatan tersebut lebih mengguris perasaan dan sanubari rakyat yang sebelum itu sememangnya mengesyaki ada sesuatu yang cuba dilindungi oleh pihak kerajaan.

Isu-isu lama dibangkitkan kembali menyesakkan nafas rakyat yang telah sedia dibebani dengan pelbagai isu sekarang ini seperti kenaikan kos sara hidup, integriti dan jurang pendapatan yang semakin melebar.

Secara umumnya, apabila banyak isu muncul menjelang musim Pilihan Raya Umum (PRU), sebenarnya ia tidak menguntungkan penyandang, iaitu BN. Sebab itu ada sesetengah pihak berpendapat RCI bukanlah suatu strategi yang bijak untuk memerangi Tun Mahathir.

Tun Mahathir sekarang  hanya boleh disanggah oleh Datuk Seri Dr Mahathir Mohamed yang menjadi Perdana Menteri selama 22 tahun dahulu.

Beri nafas semula kepada kata-kata yang pernah diucapkan oleh Dr Mahathir pada masa lalu untuk menjawab pelbagai isu yang beliau timbulkan pada hari ini.

Dan antara kata beliau yang menarik kepada saya adalah, “apabila semua kaum merasa mereka tidak dilayan dengan adil, sebenarnya itu ialah tanda yang baik. Ia menunjukkan kerajaan Malaysia tidak memihak kepada sesuatu kaum sahaja dalam melaksanakan polisi pembangunan”. – Sarawakvoice