KAPIT: Selepas tiga hari menderita, seorang murid Tahun Satu mati petang tadi selepas menjadi mangsa belasahan seorang murid Tahun Enam di sebuah sekolah berasrama di sini.

Mangsa dikatakan dibelasah dengan teruk, apabila ditumbuk di bahagian kepala dan disepak pada badan, manakala mulutnya ditekup dengan selimut asrama.

Pesuruhjaya Polis Negeri, Datuk Amer Awal ketika dihubungi sebentar tadi, mengesahkan kematian mangsa pada jam 3.30 petang tadi di Hospital Sibu.

“Mangsa mengalami cedera parah di kepala akibat dipukul dan lebam di badan.

“Siasatan awal mendapati mangsa telah dibelasah di asramanya pada tengah malam Selasa sebelum dikejarkan ke hospital berhampiran.

Kata Amer, satu pasukan khas akan ditubuhkan bagi menyiasat kes tersebut yang akan diketuai oleh Ketua Polis Daerah Kapit, Deputi Superintendan Freedy Bian.

“Suspek yang berusia 12 tahun telah kita tahan untuk disiasat di bawah Seksyen 302 kerana membunuh.

“Bagaimanapun dia dibebaskan dengan jaminan polis kerana akan menduduki peperiksaan UPSR pada September depan.

Polis katanya, akan menyiasat kes ini dari pelbagai sudut untuk memastikan tiada pihak yang teraniaya. – Sarawakvoice