Friday, October 7, 2022

Mengapa Mahathir dapatkan sokongan Hindraf menjelang PRU-14?

Secara Rawak

KUALA LUMPUR: Tidak mungkin Pakatan Harapan mengemis sokongan daripada Barisan Bertindak Hak Asasi Hindu (Hindraf) jika ia gabungan yang kuat dan mampu menggugat Barisan Nasional (BN) pada Pilihan Raya Umum (PRU) 14 akan datang.

Menurut Ketua Umno Bahagian Cheras, Datuk Seri Syed Ali Alhabshee, tindakan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) mengajak Hindraf berjuang bersama-samanya membuktikan bahawa Pakatan Harapan yang didominasi oleh DAP berada dalam keadaan bercelaru dan masih gagal membentuk gabungan yang kukuh.

Gambar fail

“Apabila blok pembangkang terpaksa mengemis ihsan dan sokongan Hindraf, bermakna mereka lemah, tidak kuat dan tidak ada hala tuju untuk berdepan dengan BN khususnya UMNO pada PRU akan datang,” tegasnya dalam entri terbaru di umnobahagiancheras.blogspot.

Apatah lagi jelas beliau, tidak kesemua parti gabungan Pakatan Harapan terdiri DAP, PKR, PAN bersetuju dengan cadangan PPBM untuk menjemput Hindraf bersama mereka.

“PPBM yang mengemukakan cadangan kepada Hindraf tetapi dikatakan tanpa pengetahuan rakan mereka dalam Pakatan Harapan, ini bermakna sesama mereka sudah bertelagah,” katanya.

Syed Ali berkata, Pakatan Harapan ternyata berada dalam keadaan terdesak dan terpaksa mengemis  sokongan daripada Hindraf.

Bagaimanapun, tegas beliau, sama ada Hindraf menjadi rakan kelima pembangkang dalam Pakatan Harapan tidak akan memberi sebarang tekanan kepada BN dan Umno.

“Tidak ada sebab mengapa kita perlu gusar dengan kemungkinan Hindraf menyertai blok pembangkang, bagi UMNO perkara seperti itu adalah lumrah setiap kali menjelang PRU,” tegasnya.

Minggu lalu, Pengerusi Pakatan Harapan, Tun Dr Mahathir Mohamad seperti dipetik media bercadang mengajak Hindraf menyertai Pakatan Harapan sebagai persiapan menentang BN pada PRU nanti.

Dr Mahathir dikatakan telah mengadakan pertemuan sulit dengan Pengerusi Hindraf, P. Waythamoorthy di Yayasan Kepimpinan Perdana, Putrajaya.

Beliau berkata, fokus BN dan Umno sekarang ialah meningkatkan usaha dan gerak kerja secara bersepadu di setiap peringkat kepemimpinan parti bagi memastikan kemenangan dapat diulangi pada PRU-14.

Untuk itu,  Syed Ali yang juga Setiausaha Badan Perhubungan Umno Wilayah Persekutuan mengingatkan ahli Umno supaya lebih berani mengekang kemaraan pembangkang yang menggunakan senjata fitnah menerusi laman sosial untuk menyerang Umno. – Sarawakvoice

Ikuti Facebook Kami

Artikel Terbaru