Khalid: Hujah terdesak tuduh Bersatu, Amanah, PKR lawan Umno-Pas bagai menentang Melayu, Islam

SHAH ALAM: Adakah kalau parti yang melawan Umno dan Pas dianggap menentang Melayu dan Islam, persoal Pengarah Komunikasi Parti Amanah Negara (Amanah) Nasional Khalid Samad.

“(Adakah) Bersatu, Amanah, PKR bukan Melayu? Dalam Dap, (ada) 15 peratus daripada ahlinya Melayu Islam,” ujar Khalid semasa berceramah dalam “Sayangi Malaysia Hapuskan Kleptokrasi” di Telok Emas, Melaka baru-baru ini.

Menurut Amanah Daily yang memetik Malaysia Dateline pada Rabu, Khalid menempelak, “kalau lawan Umno (dan) Pas (seolah-olah) menentang Melayu Islam.

“Ini satu hujah terdesak nak pertahankan Umno-BN guna sentimen Melayu Islam,” ujar beliau.

Beliau mengulas bahawa bukan hanya Umno dan Pas sahaja parti politik yang mewakili orang Melayu dan penganut Islam di negara ini seperti digembar-gemburkan.

Khalid berkata, Amanah, Bersatu, PKR dan Dap juga dipimpin dan dianggotai ramai Melayu Islam sekali gus menjamin masa depan golongan majoriti rakyat berkenaan jika Pakatan Harapan (Harapan) diberi mandat menjadi kerajaan pusat.

Hujah Khalid lagi, sentimen palsu bangsa dan agama yang dimainkan hanya untuk mempertahan rejim yang dianggap beliau sebagai kleptokrasi.

Mengulas sikap pimpinan Pas mutakhir ini yang dilihat banyak menyebelahi Umno-BN, Ahli Parlimen Shah Alam itu berpendapat parti yang pernah dianggotainya lebih 30 tahun itu semakin hilang punca.

Khalid berpesan agar Pas jangan menjadi parti Islam yang hanya tahu bergaduh dengan bukan Islam, sebab Islam ini untuk seluruh manusia.

Beliau hairan bagaimana Pas boleh berhujah mengikut cata Umno dahulu bahawa, “tidak boleh jatuhkan kerajaan Melayu Islam, haram kecuali kalau ditukar kepada Pas.”

Terbaru, Khalid berkata Pas berhujah, “tidak boleh jatuhkan kerajaan Islam, nasihat dengan cara baik, jangan malukan dia (Umno).”

Khalid berkata, Pas parti lama beliau itu sebagai, “sudah tidak menentu sekarang; kiri pun tidak, kanan, tengah pun tidak. Tidak tahu mana dia mahu pergi!” – Sarawakvoice