KUCHING: Selepas berbincang dengan parti komponen Barisan Nasional (BN) di negeri ini, Ketua Menteri Datuk Amar Abang Johari Tun Openg menjelaskan, kerajaan negeri bertemu Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak membincangkan fakta dalam penemuan terbaru di London.

Pada 16-23 Julai lepas, diketuai Menteri Muda di Pejabat Ketua Menteri (Undang-Undang, Hubungan Negeri dan Persekutuan dan Pemantauan Projek) Sharifah Hasidah Sayeed Aman Ghazali, pasukan khas dihantar ke London meneliti dokumen asal Perjanjian Malaysia 1963 (MA63).

Abang Johari mengaku, perbincangan dilakukan sesama sendiri serta parti komponen BN bagi menentukan arah tuju pembentangan dokumen berkenaan, kemudian membincangkannya dengan Perdana Menteri.

Bercakap selepas merasmikan Seminar dan Forum Kecemerlangan Perniagaan 2017 anjuran Perbadanan Produktiviti Malaysia (MPC) di Pusat Konvensyen Borneo Kuching (BCCK) pada Rabu, Abang Johari menganggap perbincangan penting memandangkan isu ini rumit dan rundingan perlu teliti demi menjaga hubungan baik kerajaan negeri dengan kerajaan pusat. (gambar fail)

Menurut Abang Johari, setakat ini Perdana Menteri bersikap terbuka dan sedia meneliti semua fakta penemuan lawatan terbabit.

Sebelum ini Perdana Menteri bersetuju memberikan hak tertentu kepada Sarawak sekiranya hak itu wajar dimiliki negeri ini ketika penubuhan Malaysia.

Sementara, Abang Johari berkata, hubungan baik Sarawak dengan pihak arkib yang menyimpan semua dokumen terbabit memudahkan penelitian lanjut selepas ini tanpa perlu ke London.

Sementara, sebahagian dokumen sudah tidak lagi dianggap sebagai rahsia oleh kabinet British.

Abang Johari mempertahankan tindakan kerajaan negeri menghantar pasukan khas ke London.

Beliau mengakui maklumat berkaitan MA63 tidak hanya “seringkasnya” dicari menggunakan jaringan internet seperti saranan “cetek” pembangkang kerana penting bagi pasukan khas meneliti dan mengkaji dokumen asal dan asli di London. – Sarawakvoice