Friday, October 7, 2022

Peguam rentung ketika rempuh api untuk selamatkan dokumen di rumahnya di Jalan Ang Cheng Ho

Secara Rawak

KUCHING: Cubaan seorang lelaki merempuh api untuk menyelamatkan dokumen peribadi dalam rumahnya yang terbakar mengundang padah, apabila rebah dan maut dipercayai terhidu asap tebal malam tadi.

Mayatnya kemudian ditemui rentung di ruang tamu rumahnya, hanya beberapa langkah dari pintu rumahnya yang masih ternganga.

Penolong Pengarah Operasi Bomba dan Penyelamat Negeri, Tiong Ling Hii yang ditemui di lokasi berkata, tragedi malang itu agak menyedihkan, kerana mangsa dipercayai berada di luar, dan bergegas balik selepas dimaklumkan rumahnya terbakar.

“Malah seorang saksi yang juga dipercayai jirannya cuba untuk menghalang dan menarik mangsa agar tidak naik ke tingkat tiga premis, yang menempatkan rumahnya itu, namun mangsa berdegil,” jelasnya lagi.

Lot rumah kedai itu kata Ling Hii adalah milik mangsa dengan tingkat atas sekali adalah untuk kediaman, manakala tingkat bawah menempatkan pejabat firmanya.

“Pihak kita dimaklumkan tentang kejadian ini sekitar jam 8.46 malam dan sebuah jentera FRT, sebuah ambulans EMRS serta dua RIM dengan kekuatan 13 anggota dikejarkan ke lokasi di Jalan Ang Cheng Ho di sini, dari Balai Bomba dan Penyelamat Kuching.

“Pasukan ini turut dibantu sebuah lagi jentera FRT dan ambulans EMRS serta 10 anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat Batu Lintang.

Katanya, pasukan pertama tiba di lokasi tujuh minit kemudian dan mendapati tingkat tiga bangunan tersebut telah musnah sepenuhnya.

“Tindakan pemadaman kemudian dilakukan dengan membentang dua aliran 200 kaki sebelum menggempur api menggunakan dua nozel dari bahagian depan, dengan anggota memanjat tangga bomba terus ke premis yang terbakar.

Kata Ling Hii, satu lagi kumpulan dengan satu aliran memasuki premis melalui tangga bangunan, manakala dua aliran lain digunakan untuk membuat “fire break” di kiri kanan premis.

“Kumpulan bantuan pula melakukan pemadaman dari bahagian belakang bangunan, dan merempuh masuk menggunakan tangga bomba.

Jelas Ling Hii, pemeriksaan lanjut struktur kekal yang bersaiz 60 x 20 kaki itu kemudiannya menemukan mayat mangsa dalam keadaan terlentang.

Mayat mangsa katanya, telah dibawa turun oleh pasukan penyelamat sekitar jam 10.40 malam tadi sebelum diserahkan kepada pihak polis untuk dibawa ke Jabatan Forensik Hospital Umum Sarawak.

“Identiti mangsa masih belum dapat dipastikan kerana dokumen pengenalan tidak ditemui namun kita difahamkan mangsa adalah peguam dan pemilik J.King & Company Advocates yang dikenali sebagai ‘Hong’.

“Mangsa dipercayai berusia dalam 60-an dan tinggal bujang di premis berkenaan.

Punca kebakaran katanya, kini masih dalam siasatan pasukan forensik kebakaran. – Sarawakvoice

Ikuti Facebook Kami

Artikel Terbaru