845 dimufliskan kerana kad kredit

KUALA LUMPUR: Terdapat 3.6 juta orang pemegang kad kredit utama di Malaysia sehingga akhir Jun lepas, kata Timbalan Menteri Kewangan Datuk Lee Chee Leong.

Berdasarkan statistik yang dikeluarkan Jabatan Perangkaan Malaysia pada 2016, jumlah itu merupakan 18 peratus daripada 20 juta penduduk Malaysia yang berumur antara 20 hingga 74 tahun.

“Setakat akhir Jun lepas, jumlah baki belum jelas bagi kad kredit ialah sebanyak RM36.9 bilion, yang mana 7.3 peratus atau RM2.7 bilion merupakan baki melebihi tempoh bayaran,” katanya semasa sesi soal jawab pada persidangan Dewan Negara di sini semalam.

Lee berkata pecahan baki melebihi tempoh tarikh bayaran iaitu baki tertunggak tidak melebihi tiga bulan sebanyak 6.2 peratus yang bernilai RM2.3 bilion manakala baki tertunggak melebihi tiga bulan sebanyak 1.1 peratus yang bernilai RM0.4 bilion.

Beliau menjawab soalan Senator Datuk Jaspal Singh mengenai peratusan populasi rakyat yang mempunyai kad kredit serta jumlah hutang kad kredit yang tidak dapat dijelaskan dan bilangan kes dimufliskan.

 

Lee berkata secara keseluruhannya, 43.6 peratus daripada jumlah pemegang kad menyelesaikan hutang kad kredit mereka dengan sepenuhnya sepanjang tempoh Januari hingga Jun lepas.

Katanya 43.6 peratus lagi membayar sekurang-kurangnya lima peratus daripada jumlah baki belum jelas dalam tempoh sama dan baki selebihnya 12.8 peratus adalah pemegang kad yang tidak membayar baki kad belum jelas sekurang-kurangnya bayaran minimum sebelum atau pada tempoh tarikh bayaran.

Mengenai jumlah kes yang dimufliskan, Lee berkata 845 individu, kebanyakannya berumur melebihi 30 tahun, diisytiharkan muflis dalam tempoh enam bulan pertama tahun ini.

Menjawab soalan tambahan Jaspal Singh berhubung pemantauan kementerian dalam menangani kes perjudian dalam talian melibatkan penggunaan kad kredit, Lee berkata Bank Negara Malaysia telah mengeluarkan garis panduan yang menghendaki pengeluar kad kredit menyekat sebarang transaksi untuk kegiatan seumpamanya, yang dikenal pasti melalui kod kategori peniagaan. Bernama