Tuesday, October 4, 2022

Polis Kuching serbu premis judi dua alam di Kuching, dua rakyat Indonesia ditahan

Secara Rawak

KUCHING: Premis judi dua alam. Siang kasino siber, malam pusat karaoke. Itu peranan sebuah premis karaoke dan pub di Jalan Petanak di sini, yang terbongkar setelah diserbu sepasukan anggota siasatan jenayah Daerah Kuching semalam.

Ketua Polis Daerah Kuching, Asisten Komisioner Abang Ahmad Abang Julai memberitahu, serbuan sekitar jam enam petang itu turut menahan dua wanita Indonesia yang bertindak sebagai penjaga dan pemain judi atas talian.

“Pada masa yang sama, kita turut merampas satu unit LCD jenama BenQ, satu unit Digital Video Recorder, satu unit TM Streamix, tiga tablet jenama Winds, satu unit telefon bimbit jenama Samsung, tiga unit rablet jenama Lenovo dan satu unit TP-LINK HighPower.

Katanya lagi, penjaga premis dari Singkawang, Indonesia kemudian ditahan di lokap untuk siasatan lanjut manakala pemain yang berasal dari Sungai Raya, Indonesia dirujuk kepada pegawai penyiasat untuk dirakam percakapan.

Suspek disiasat di bawah Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1953, Seksyen 4B(a) Akta Rumah Judi Terbuka 1953 dan Seksyen 5(1)Ordinan Hiburan 2000.

“Ia adalah sebahagian daripada usaha dan komitmen kita memerangi aktiviti perjudian di seluruh negeri.

“Kita tidak akan berkompromi dan akan terus menggempur pusat-pusat ini,” kata Abang Ahmad lagi. – Sarawakvoice

Ikuti Facebook Kami

Artikel Terbaru