Prasarana pastikan operasi tren paling padat, paling sibuk di dunia berjalan lancar ketika wukuf dan melontar

Esok, Prasarana mahu kekal laksana operasi di Mekah

0
6

MAKKAH: Umpama membalas budi, seramai 100 pesara dan bekas kakitangan Rapid Rail, Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB) dan Express Rail Link (ERL) diberi peluang berkongsi pengalaman berharga mengendalikan operasi tren haji, Al Mashaaer Al Mugaddassah Metro Southern Line (MMMSL).

Ia merupakan inisiatif Syarikat Prasarana Malaysia Berhad (Prasarana) bagi memastikan tahap kecekapan operasi tren berkenaan berada pada tahap tertinggi, sekali gus memanfaatkan pengalaman dan kemahiran golongan pesara ini.

Perkara ini diakui Ketua Komunikasi dan Hal Ehwal Media Prasarana, Azhar Ghazali, yang berkata, penyertaan kumpulan terbabit adalah sebagai kakitangan sokongan, bagi memastikan kelancaran operasi MMMSL menjelang tempoh wukuf bermula pada 29 Ogos depan.

Foto ihsan Prasarana Malaysia Berhad

“Mereka, dengan pengkhususan dalam bidang penugasan masing-masing akan menyokong secara berkesan operasi tren haji oleh Prasarana yang memasuki tahun ketiga.

“Seramai 500 warga Malaysia terbabit dalam pengendalian tren ini, yang menjadi sebahagian daripada 17,000 petugas di tanah suci ini.

Prasarana terbabit dalam pengendalian operasi MMMSL sejak 2015 membabitkan jajaran landasan sepanjang 18.1 kilometer dari Arafah ke Jamrah.

Keseluruhannya, sebanyak 15 tren dengan setiap satunya memiliki 12 gerabak digerakkan di landasan bertingkat.

MMMSL adalah kenderaan khusus untuk pengangkutan jemaah melaksanakan ibadah itu, sekali gus membantu menangani kesesakan di tempat melontar jamrah.

Ia beroperasi selama tujuh hari khusus untuk musim haji dan bakal memberi manfaat kepada 350,000 jemaah sehari, khususnya dari kalangan negara Asia Barat dan Asia Selatan.

“Ia juga sebahagian daripada projek luar negara Prasarana kerana di sebalik singkatnya perkhidmatan, menjadi tren paling sibuk dan paling padat di dunia.

“Ini kerana ia membawa kapasiti penumpang yang tinggi pada satu-satu masa sepanjang tempoh berkenaan,” katanya.

Kecekapan operasi MMMSL turut mendapat pujian Kerajaan Arab Saudi, khususnya Lembaga Pembangunan Wilayah Makkah (MRDA) kerana membantu kelancaran pergerakan jemaah, terutama pada waktu wukuf yang disifatkan sebagai paling kritikal sepanjang musim haji.

“Ini ujian sebenar keupayaan pasukan petugas kita di lapangan namun kumpulan petugas kita sudah siap sedia bagi mendepani sebarang bentuk keadaan, termasuk cabaran mental dan fizikal bagi memastikan penugasan terbaik,” katanya. – Sarawakvoice