Saturday, December 3, 2022

Pas: Perintah bubar kahwin sivil mualaf perlu diterima sebagai bukti konklusif

Secara Rawak

KUALA LUMPUR: Pas berkata, perintah pembubaran perkahwinan sivil seorang mualaf yang dikeluarkan oleh Mahkamah Syariah hendaklah diterima sebagai bukti konklusif oleh Akta Membaharui Undang-Undang (Perkahwinan dan Penceraian) 1976 (Akta 164)  sebagai salah satu syarat untuk membubarkan perkahwinan sivil secara ex-parte melalui permohonan pendaftar perkahwinan sivil.

Dalam hal ini, Ketua Penerangan Pas Pusat Nasrudin Hassan berkata, Sidang Muzakarah Akta 164 anjuran parti itu baru-baru ini merumuskan, seorang mualaf tidak dijadikan satu pihak dalam prosiding di Mahkamah Sivil tetapi boleh hadir sebagai seorang saksi untuk mengesahkan perintah Mahkamah Syariah.

Katanya, Akta 164 dan statut-statut berkaitan hendaklah mengandungi peruntukan yang mengarahkan pasangan terlibat untuk menghadiri sulh (mediasi) bagi menguruskan hal berkaitan agihan harta sepencarian, nafqah, hak penjagaan anak, hak pendidikan, alimoni dan remedi bersangkutan selepas perintah pembubaran perkahwinan sivil oleh Mahkamah Syariah disahkan oleh Mahkamah Sivil.

Dalam hal ini, katanya, keputusan sulh (mediasi)  hendaklah dimuktamadkan dalam bentuk perjanjian dan difailkan di Mahkamah Syariah dan Mahkamah Sivil berkenaan.

Beliau menjelaskan  sebelum tertubuhnya Mediasi dan Tribunal, Kerajaan memerlukan Satu Jawatankuasa Khas untuk meneliti persoalan berkaitan bagaimana bidang kuasa Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan Negeri boleh membenarkan Mediasi dan Tribunal ditubuhkan yang mempunyai pengiktirafan dan akreditasi dalam sistem federalisme.

“Hasil dari Kajian Jawatankuasa ini dipersembahkan pada Majlis Raja-Raja Melayu supaya boleh tertubuhnya Mediasi dan Tribunal dan memilih mereka yang berkelayakan,” katanya dalam satu kenyataan.

Nasrudin berkata, Pas telah menganjurkan Muzakarah Akta 164 pada 16 Ogos lalu secara tertutup di Hotel De Palma Ampang di sini.

“Adalah diakui, bahawa suatu pindaan terhadap undang-undang sedia ada sememangnya diperlukan, khususnya bagi menyelesaikan masalah status perkahwinan tergantung apabila seseorang bukan Islam yang pada awalnya berkahwin dalam perkahwinan sivil, memeluk agama Islam,” katanya lagi.

Walau bagaimanapun,  ujarnya, pindaan tersebut hendaklah mengambil kira hak dan kepentingan kesemua pihak, dan tidak boleh dibuat secara tergesa-gesa. – Sarawakvoice

Ikuti Facebook Kami

Artikel Terbaru