Sunday, September 25, 2022

Lim Kit Siang lakarkan strategi rampas Kedah daripada BN

Secara Rawak

ALOR SETAR: Jika hendak merampas balik Kedah daripada Barisan Nasional (BN), strategi betul perlu dilaksanakan Pakatan Harapan, termasuk memenangi  empat kerusi Dewan Undangan Negeri di negeri itu.

Kerusi berkenaan menurut Ketua Parlimen DAP Lim Kit Siang  ialah dua kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN)  Ayer Hangat dan Kuah di Langkawi, dan dua kerusi DUN  Bukit Kayu Hitam dan  Jitra di Parlimen Kubang Pasu.

Mengulas perkara berkenaan dalam satu kenyataan, pemimpin politik veteran pembangkang itu berkata, jika Pakatan Harapan memenangi Parlimen Langkawi dan dua kerusi negeri tersebut – senario yang belum pernah terfikirkan, maka ia merupakan petunjuk nyata berlakunya ‘tsunami politik’ pilihan raya di Malaysia seterusnya ke seluruh Semenanjung Malaysia hingga ke Johor.

Foto The Malaysian Insight

Katanya, DAP harus diberi peluang meningkatkan sokongan rakyat khususnya masyarakat bukan Melayu kepada Pakatan Harapan dengan meletakkan calon di kawasan tengah dan selatan Kedah.

“Di bahagian tengah, DAP minta untuk meletakkan calon di N22 Gurun (Parlimen Jerai) – kerusi campuran pelbagai kaum (56% Melayu, 27% Cina dan 17% India) yang mana dimenangi oleh MCA pada tahun 2013.

“Bagi selatan Kedah, DAP meminta supaya dapat meletakkan calon di kerusi N35 Kulim yang juga kerusi campuran (60% Melayu, 23% Cina dan 17 India) yang kini disandang MCA menewaskan calon PKR dalam PRU13 dengan 643 majoriti,” katanya lagi.

Menurutnya, jika tidak diberi peluang bertanding di kerusi parlimen atau DUN di bahagian selatan, ia dikhuatiri menyebabkan DAP mengalami kesukaran untuk memobilasi penyokong membantu jentera Pakatan Harapan negeri itu.

Tambah Kit Siang, Pakatan Harapan harus menunjukkan perpaduan yang lebih kukuh dan mantap berbanding BN.

Hal ini, katanya akan memberikan kelebihan kepada penyokong atas pagar dan propembangkang untuk mengundi Pakatan Harapan berbanding membazirkan undi mereka kepada parti yang tidak mempunyai peluang untuk menang di kerusi negeri atau Parlimen.

BN berjaya merampas balik Negeri Jelapang Padi itu daripada Pakatan Rakyat yang terdiri daripada Pas, PKR dan DAP pada pilihan raya lalu selepas memenanginya pada 2008.

BN Kedah dijangka berdepan persaingan sengit daripada pembangkang dalam PRU-14 yang dijangka diadakan Mac. – Sarawakvoice

Ikuti Facebook Kami

Artikel Terbaru