Kes gigitan anjing semakin berkurang, namun operasi bersepadu buru anjing liar masih diteruskan

Facebook
Twitter
WhatsApp
Telegram
Email

KUCHING: Jabatan Kesihatan Negeri Sarawak memaklumkan bahawa sebanyak 19 kes gigitan baharu anjing dilaporkan pada hari ini.

Ia melibatkan tujuh kes di Bahagian Serian, tiga kes Bahagian Sri Aman, lapan kes Bahagian Kuching dan satu kes di Bahagian Samarahan.

Secara keseluruhan, jumlah ini menjadikan bilangan kes kumulatif gigitan haiwan yang berlaku sejak 1 April lalu hingga ke hari ini kepada 2,728 kes.

“Secara kumulatif juga, seramai 1,007 orang telah menerima suntikan vaksin anti-Rabies di seluruh negeri.

Jabatan itu menerusi kenyataan yang dikeluarkan oleh Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri, menegaskan tidak semua kes gigitan yang memerlukan suntikan vaksin anti-Rabies.

“Setiap kes gigitan akan dinilai secara klinikal oleh pakar perubatan sebelum ditentukan sama ada vaksin diperlukan atau sebaliknya.”

Sementara itu, Jabatan Perkhidmatan Veterinar Sarawak (JPVS) melaporkan, Program Pemvaksinan Haiwan Peliharaan akan disambung pada 22 Ogos depan di lima buah kampung di kawasan Serembu.

“Secara kumulatif, sebanyak 32,644 ekor haiwan peliharaan, yang terdiri daripada 25,002 ekor anjing, 7,597 ekor kucing serta 45 haiwan lain telah divaksin.

JPVS katanya, juga meneruskan aktiviti penyiasatan kes-kes berkaitan wabak Rabies, dengan sebanyak 36,816 survelan aktif dan 962 survelan pasif diambil untuk mengawal penularan wabak Rabies di kawasan Serian, Kuching dan Sri Aman.

“Sejumlah 210 sampel yang terdiri daripada 192 sampel anjing, 17 sampel kucing dan satu sampel kelawar yang diperoleh daripada Bahagian Kuching, Sri Aman, Serian, Samarahan, Betong, Sarikei, Sibu dan Miri telah dihantar ke Institut Penyelidikan Veterinar (VRI), Ipoh untuk ujian virus Rabies.

“Setakat ini, 36 sampel anjing dan enam sampel kucing dari Bahagian Kuching, Serian dan Sri Aman telah disahkan positif daripada keseluruhan 180 keputusan sampel yang dikembalikan.”

Pada masa yang sama, operasi bersepadu yang dikendalikan bersama oleh Kementerian Kerajaan Tempatan dan JPVS telah berjaya menangkap 1,129 ekor anjing terbiar di Bahagian Kuching, Serian, Sri Aman, Sarikei, Samarahan dan Betong.

“Ia sebagai langkah mengawal populasi anjing terbiar bagi mengekang jangkitan wabak tersebut.

“JPVS juga mengingatkan kepada semua pihak untuk mengelakkan haiwan kesayangan mereka, baik yang telah atau belum divaksin daripada bercampur dengan haiwan terbiar.

Pemilik juga diminta menghubungi JPVS jika haiwan ini mengalami perubahan sikap dari jinak ke ganas, menggigit sebarang benda yang bergerak, takut air dan cahaya, menyendiri, air liur berlebihan, gelisah dan bertukar agresif. – Sarawakvoice

Terbaru