Ahli Umno di Semenanjung perlu belajar daripada pengalaman politik Sabah, kata Musa Aman

PASIR SALAK: Ketua Menteri Sabah berkata, ahli-ahli Umno perlu sentiasa berpegang kepada slogan parti —  ‘Bersatu, Bersetia, Berkhidmat’ dalam memastikan keutuhannya  sebagaimana di Sabah.

Menurut Datuk Seri Musa Aman, itulah kunci Sabah terus menjadi simpanan tetap Barisan Nasional (BN), selain belajar daripada pengalaman ketika Sabah hilang kuasa kepada pembangkang.

“Selagi kita bersatu selagi itu kita kuat… kita juga diajar untuk bersetia kepada parti dan pemimpin jadi kita tidak lupa daratan,” katanya dalam ucapan perasmian mesyuarat Umno bahagian Pasir Salak di sini, hari ini.

“Di Sabah kami berkhidmat sepanjang masa seperti setiap hari akan ada pilihan raya. Kami selalu turun ke bawah kerana kami bukan pemimpin bermusim,” ujarnya

Justeru, beliau berharap agar setiap Ahli Dewan Undangan Negeri yang telah dipilih oleh rakyat harus bertanggungjawab memikul amanah.

“Setiap ADUN harus ingat YB itu bukan ‘Yang Berhormat’ tetapi ialah ‘Yang Berkhidmat,” katanya sambil menambah ia merupakan  tanggungjawab dan amanah yang diberikan oleh rakyat,  jadi mereka tidak seharusnya lup diri.

“Jadikan kami di Sabah sebagai contoh. Kami sengsara bila hilang kuasa… kami serik tapi dengan pertolongan UMNO kami dapat ambil balik kuasa,” tambahnya.

Ujar Musa, disebabkan kerajaan negeri silih berganti kuasa pentadbir maka rakyat menjadi rugi dan negeri menjadi mundur.

Sabah pernah dipimpin oleh Usno, Berjasa, Parti Bersatu Sabah (PBS), sebelum diterajui oleh Umno pada awal 1990-an.

“Bila sering bertukar kerajaan maka susah nak bangunkan negeri. Ini buatkan rakyat Sabah sedar betapa pentingnya bersatu. Hari ini kami dapat bangunkan negeri dengan baik setelah BN ambil alih pucuk pimpinan negeri,” kata Musa lagi.

“Ini semua kerana Sabah belajar daripada pengalaman. Jangan kerana merajuk dan sakit hati menjadi punca kepada berpecah-belah,” katanya. – Sarawakvoice