KUCHING: Jabatan Perkhidmatan Veterinar Sarawak (JPVS) semalam melaporkan dua lagi sampel anjing yang diterima daripada Institut Penyelidikan Veterinar (VRI) di Ipoh sebagai positif virus Rabies.

Ia berdasarkan Ujian Direct Fluorescent Antibody (FAT) yang dihantar pada 10 Ogos lalu, kata jurucakap Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri, Ismail Mahedin.

“Kedua-dua sampel tersebut adalah dari Kampung Kuala, Jalan Gedong, Serian, yang sebelum ini menjadi lokasi jangkitan mangsa keenam, yang kini sedang kritikal.

Kata Ismail, bilangan sampel positif virus Rabies setakat ini adalah 36 sampel anjing dan 6 sampel kucing, daripada keseluruhan 180 keputusan sampel yang diterima daripada VRI.

“Untuk hari ini, setakat jam 3 petang semalam, sebanyak 139 ekor anjing telah divaksin di 10 buah kampung dalam Daerah Serian.

“Ini menjadikan secara kumulatif, sebanyak 31,815 ekor haiwan peliharaan, yang terdiri daripada 24,173 ekor anjing, 7,597 ekor kucing dan 45 haiwan lain telah divaksin.

Program Pemvaksinan Anjing katanya, akan ditangguh pada esok, bagi memberi laluan Program Pemvaksinan Anti-Rabies kepada petugas wabak Rabies.

“Program Pemvaksinan Anjing akan disambung semula pada Sabtu, 19 Ogos di Kampung Panchor Dayak dan Panchor Cina, Kampung Semada Belatok, Semada Mawang, Semada Tengah, Kampung Semukoi A, Semukoi Empegang, Kampung Sungai Apeng, Slabi Entukuh, Sungai Buruh dan Singai Turong.

Selain itu, sebanyak 35,759 survelan aktif dan 870 survelan pasif telah dilakukan untuk mengawal penularan wabak Rabies oleh JPVS di kawasan Serian, Kuching dan Sri Aman.

“Sejumlah 193 sampel yang terdiri daripada 175 sampel anjing, 17 sampel kucing dan satu sampel kelawar yang diperolehi dari Bahagian Kuching, Sri Aman, Serian, Samarahan, Betong, Sarikei, Sibu dan Miri telah dihantar ke VRI untuk ujian virus Rabies.

Sementara itu kata Ismail, operasi bersepadu yang dikendali Kementerian Kerajaan Tempatan bersama JPVS setakat ini telah menangkap 1,048 ekor anjing terbiar di Bahagian Kuching, Samarahan dan Serian sebagai langkah mengawal populasi anjing terbiar. – Sarawakvoice