Apa betul tsunami Melayu akan berlaku pada PRU-14? Inilah antara soalan yang banyak diajukan kepada saya akhir-akhir ini.

Berbanding dengan kumpulan etnik lain, undi Melayu menjadi penentu kepada tertubuh atau tersingkirnya sesebuah kerajaan bagi negeri-negeri di Semenanjung Malaysia dan juga pada peringkat kerajaan persekutuan.

Sebab itulah parti politik yang bercita-cita untuk memerintah pada peringkat negeri atau persekutuan masing-masing berusaha untuk menguasai undi Melayu. Itu yang dilakukan oleh UMNO/BN dan beberapa parti serpihannya seperti PAS, S 46, PKR dan yang terbaharu PPBM.

Tsunami Melayu bukanlah suatu perkara baharu, ia pernah berlaku pada peringkat negeri seperti di Kelantan (1959, 1978 dan 1990-2013), Terengganu (1999), Kedah (2008 dan 2013), Selangor (2008-2013) dan Perak (2008).

Keputusan PRU semenjak selepas negara mencapai kemerdekaan sehingga tahun 2013 menunjukkan UMNO/BN masih mendapat kepercayaan daripada pengundi Melayu. Antara sebab utamanya adalah kerana pemimpin awal UMNO seperti Tunku Abdul Rahman, Tun Razak Hussein, Tun Hussein Onn dan Tun Dr. Mahathir Mohamad masih dilihat ikhlas serius dalam membela kepentingan Melayu.

Namun begitu, semenjak zaman Tun Abdullah Ahmad Badawi dan Datuk Seri Najib Tun Razak, pengundi Melayu mula menzahirkan kekecewaan. Sebab itu pada PRU 2014, UMNO/BN kehilangan sokongan 2/3 majoriti kerusi parlimen.

Sokongan pengundi bukan Melayu terhadap UMNO/BN merosot dengan ketara semasa PRU-13 yang lalu sehingga ada yang menyalahkan tsunami China. Pada hakikatnya, golongan pengundi Melayu khususnya di bandar, tidak kembali semula kepada UMNO dalam dua PRU yang lalu.

Apa sebabnya tsunami Melayu boleh berlaku? Selepas PRU-11, kita lihat tembok yang menjadi halangan kepada orang Melayu mengundi pembangkang telah pecah.

Sebelum itu, ada antara pengundi Melayu risau tampuk pemerintahan negara ini dikuasai oleh orang bukan Melayu.

Selepas PRU-11 sehingga sekarang, orang Melayu sudah tidak kisah. Mereka mahu melihat berlaku pertukaran kerajaan pada peringkat negeri dan persekutuan.

Perubahan sikap ini mempunyai kaitan rapat dengan kekecewaan pengundi Melayu dengan pemimpin UMNO/BN yang dilihat semakin tidak prihatin terhadap masalah rakyat.

Soal ketelusan dan pengagihan kekayaan bukan lagi agenda utama, sebaliknya mendapat kuasa dan mempertahan kuasa semakin menjadi kegilaan.

Tradisi Melayu mengutamakan keharmonian dan mengelakkan perkelahian. Apabila UMNO berkelahi sesama mereka pada tahun 1980-an, mereka tewas di Kelantan.

Perkelahian pada tahun 1990-an menyebabkan UMNO kehilangan Terengganu di samping gagal di Kelantan.

Menjelang PRU 2008, Tun Abdullah Badawi berkelahi dengan Tun Mahathir. Lima negeri BN tumbang selepas itu.

Dua tahun kebelakangan ini UMNO kembali berkelahi semula dengan Tun Mahathir. Ada yang berkata bahawa Tun Mahathir telah tua, pengaruhnya kurang dan tidak lagi memberi kesan besar terhadap UMNO/BN. Itu hanya pendapat, mungkin betul dan mungkin juga tidak.

Ada seorang pemerhati politik veteran pernah berkata kepada saya bahawa dulu UMNO masih boleh memainkan lagu ‘anak kecil main api’ menaikkan semangat Melayu. Katanya lagi “sekarang UMNO hanya boleh nyanyikan anak kecil main …. aje lah”.

Benarlah pepatah Melayu, apabila terlalu lama berkuasa dan berjaya, ada yang lupa daratan dan menjadi kacang lupakan kulit! – Sarawakvoice