BANGI: Majikan diminta memberi perhatian wajar ke atas isu kemalangan khususnya melibatkan pekerja yang menaiki motosikal ke tempat kerja.

Gesaan tersebut dikemukakan Pengerusi Institut Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan Negara (NIOSH) Tan Sri Lee Lam Thye ekoran berlaku peningkatan 2,735 kemalangan ulang-alik bekerja melibatkan penunggang dan pembonceng motosikal pada 2016 berbanding sebelumnya.

Gambar fail

Menurut Lee trend kemalangan ulang-alik bekerja meningkat, bermula 2008 apabila 19,041 kes dilaporkan berlaku berbanding 17,682 kes pada 2007.

Semenjak itu, trend peningkatan kemalangan ulang-alik bekerja kekal sehingga kini.

Memetik Bernama, Lee berkata, “kita faham faktor kos sara hidup yang tinggi menyebabkan ramai pekerja terpaksa memilih untuk menunggang motosikal walaupun menyedari ia mempunyai risiko lebih tinggi.”

Bercakap selepas majlis sambutan bulan kemerdekaan peringkat agensi, Lee meminta majikan memberi pendedahan dan maklumat berkaitan keselamatan dan cara menunggang berhemah kepada pekerja.

Menurut Lee termaktub di bawah Akta Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (OSHA) 1994 bahawa majikan bertanggungjawab memastikan keselamatan pekerja.

Justeru, menjadi tanggungjawab majikan memastikan pekerja sentiasa selamat semasa bekerja dan ketika dalam perjalanan datang serta pulang kerja, lebih-lebih ketika cuaca tidak menentu.

Sebelum itu, Lee menyaksikan Jalur Gemilang gergasi diturunkan dari bangunan NIOSH sebagai gimik sambutan dihadiri 100 staf.

Pada majlis tersebut, Lee turut mendeklamasikan sajak bertajuk “Erti Kemerdekaan” karya Datuk A. Samad Said. – Sarawakvoice