KOTA SAMARAHAN: Polis Samarahan hari ini bertindak menahan operator kren tumbang yang menyebabkan kematian dua pekerja di tapak pembinaan Taman Capital Tanjung Tuang di sini pada Jumaat lalu.

Ketua Siasatan Jenayah Negeri, Datuk Dev Kumar berkata, tangkapan terhadap individu berusia 65 tahun itu dilakukan oleh sepasukan anggota siasatan jenayah Kota Samarahan sekitar jam 12.30 tengah hari tadi.

Ia bagi membantu siasatan berhubung kematian Muhammad Bake, 49 tahun dari Kampung Melayu, Kota Samarahan dan Helen Suma Gilbert, 40 tahun dari Kampung Moyan Lidang, Asajaya, selepas kren tersebut tumbang mengenai mereka.

“Sebelum ini, kes tersebut diklasifikasikan sebagai mati mengejut, tetapi kita telah klasifikasi semula kes ini di bawah Seksyen 304A Kanun Keseksaan kerana menyebabkan kematian dengan cuai,” katanya lagi.

Sebelum ini, Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Fadillah Yusuf memaklumkan bahawa pasukan penyiasat Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan (CIDB) akan melakukan siasatan di tapak lokasi untuk mengenal pasti elemen kecuaian prosedur pembinaan.

Manakala Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (DOSH) melihat pengabaian dari aspek keselamatan. – Sarawakvoice