KUCHING: Dua wanita maut selepas motosikal yang ditunggang mereka terlibat dalam satu kemalangan jalan raya di Batu 11, Jalan Kuching-Serian awal pagi tadi.

Timbalan Ketua Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Negeri, Deputi Superintendan Bingkok John berkata, kejadian dipercayai berlaku sekitar jam 4.15 pagi tadi ketika kedua-dua mangsa sedang menghala ke Kuching dari Serian.

“Setiba di lokasi, motosikal mangsa jenis Honda Wave tiba-tiba dirempuh oleh sebuah kenderaan jenis Toyota Vios yang dipandu oleh wanita Cina berusia 29 tahun, dari Taman BDC yang hilang kawalan.

“Akibat rempuhan tersebut, kedua-mangsa maut di tempat kejadian selepas mengalami kecederaan pada bahagian bawah badan.

Bingkok berkata, ketika insiden, keadaan cuaca adalah baik, jalan rata dan tidak bermasalah.

“Mayat kedua-dua mangsa kemudian  dibawa ke Hospital Umum Sarawak menggunakan land rover Polis.

Siasatan awal mendapati kedua-dua mangsa yang maut tidak mempunyai kad pengenalan diri, namun identiti penunggang berjaya dikenal pasti sebagai Audrey Kymberlee Patrick, 28 tahun dari Kampung Sungai Duuh, dekat sini.

“Seorang lagi mangsa wanita masih gagal dikenal pasti, dan pihak kita sedang menunggu pihak keluarga untuk membuat pengecaman,” katanya lagi.

Punca kemalangan kata Bingkok, masih disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987. – Sarawakvoice