Tuesday, June 28, 2022

Banjir tenggelamkan sembilan sekolah, tiga ditutup dan dua insiden tanah runtuh di Sarawak

Secara Rawak

MIRI: Sembilan buah sekolah di negeri ini terjejas banjir sehingga petang ini, dengan tiga daripadanya diarahkan tidak beroperasi demi keselamatan murid-murid.

Menurut jurucakap Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri, Ismail Mahedin, sekolah-sekolah yang tidak beroperasi kerana dinaiki air ialah Sekolah Kebangsaan (SK) Kuala Kebulu di Sebauh, yang dinaiki air sehingga empat kaki.

Sekolah ini mempunyai 48 murid.

“Turut terjejas SK Kuala Sigu, juga di Sebauh, yang melibatkan 32 murid kerana dinaiki air setinggi dua kaki.

“Sekolah ketiga ialah SK Bukit Balai, juga di Sebauh, melibatkan 32 murid apabila air naik setinggi enam inci dan membanjiri enam buah kelas.

“Hanya murid tahun enam yang turun kelas dan belajar seperti biasa,” katanya lagi.

Enam buah sekolah yang dinaiki air, tetapi kekal beroperasi kerana tidak terlalu terjejas ialah SK Sungai Genaan dengan 38 murid, SK Bukit Mawang (38 murid),
SK Kuala Binyo (47 murid).

Kesemua sekolah ini terletak di kawasan Pejabat Pendidikan Daerah Sebauh.

Sekolah lain ialah SK Long Bemang di Baram (103 murid), SK Ng Balingiau di Kanowit (105 murid) dan SK Ukong di Limbang (95 murid).

Kata Ismail, jawatankuasa turut menerima dua laporan tanah runtuh pada petang semalam di jalan menuju ke SK Sungai Tau, Selangau.

“Ia berpunca daripada hujan lebat, namun laluan masih boleh dilalui oleh kenderaan.

Satu lagi laporan melibatkan jambatan mejat (yang diperbuat
daripada batang kayu balak), yang lantai balaknya runtuh disebabkan oleh arus deras.

“Jambatan tersebut menghubungkan tujuh rumah panjang iaitu Rumah Sebeli,
Rumah Pengarah, Rumah Jani, Rumah Uban, Rumah Empawok, Rumah Angga dan Rumah Lunchong di Selangau.

Bagaimanpun katanya, setakat ini semua kawasan tersebut dalam keadaan terkawal. – Sarawakvoice

Ikuti Facebook Kami

Artikel Terbaru