KUCHING: Cubaan dua bot nelayan Vietnam merompak 10,000 kilogram ikan di perairan Sarawak gagal apabila mereka ditumpaskan oleh Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) pada 10 Ogos lalu.

Pengarah APMM Wilayah Sarawak, Ismaili Bujang Pit berkata, kesemua 22 orang awak-awak termasuk tekong yang berusia antara 16 hingga 45 tahun berjaya ditahan.

“Tangkapan ini adalah hasil risikan dan maklumat komuniti maritim yang disalurkan kepada Maritim Malaysia.

Kata Ismaili, susulan maklumat awal, sebuah kapal peronda KM Cekal diatur gerak ke lokasi sebelum menemui dan menahan bot terbabit pada kedudukan 185 batu nautika dari Tanjung Po sekitar jam 8.45 pagi.

Dalam sidang media di jeti Kompleks Maritim Tun Abang Salahudin di Muara Tebas di sini, pagi tadi, beliau mengesahkan nelayan kedua-dua bot tersebut sedang melaksanakan penangkapan ikan dengan menggunakan kaedah pukat tunda ganding dan tidak menunjukkan sebarang reaksi agresif apabila ditahan.

Kesemua 22 nelayan terbabit kini ditahan bagi membolehkan siasatan dijalankan di bawah Akta Perikanan 1985.

“Sabit kesalahan, bot serta peralatan menangkap ikan nelayan terbabit boleh disita, manakala tekong bot berhadapan denda tidak melebihi RM1 juta.

“Setiap seorang daripada awak-awak pula boleh dikenakan denda maksimum RM100 ribu setiap seorang atau dihukum penjara,” katanya lagi.

Tangkapan ini menjadikan jumlah kes tangkapan bot nelayan asing Vietnam kepada 26 kes untuk tempoh lapan bulan pertama tahun ini, yang membabitkan 316 anak kapal.

Sepanjang tahun lalu, hanya 14 kes pencerobohan nelayan Vietnam direkodkan dengan penglibatan 189 anak kapal.

Kes pencerobohan lain pula membabitkan sebuah bot nelayan Filipina dengan seorang nelayan, serta sebuah bot nelayan Indonesia dengan 28 anak kapal. – Sarawakvoice