KUCHING: Sebanyak 96 kes gigitan baharu anjing dilaporkan di kawasan jangkitan Rabies pada hari ini, menurut laporan Jabatan Kesihatan Negeri Sarawak.

Daripada jumlah itu, 18 kes adalah dari Bahagian Serian, satu kes daripada Bahagian Sri Aman, 74 kes daripada Bahagian Kuching dan tiga kes daripada Bahagian Samarahan.

“Sebanyak 73 kes melibatkan haiwan peliharaan iaitu anjing 55 kes, dan kucing 18 kes.

“Manakala, 23 kes pula melibatkan haiwan liar atau tidak bertuan, iaitu anjing 16 kes, kucing 6 kes manakala kelawar satu kes,” kata jabatan tersebut menerusi kenyataan yang dikeluarkan oleh Sekretariat Pengurusan Bencana Negeri, sebentar tadi.

Jelasnya, ini menjadikan bilangan kes kumulatif gigitan haiwan yang berlaku bermula 1 April lalu hingga ke hari ini, kepada 2,298 kes, dengan seramai 922 orang telah menerima suntikan vaksin anti-Rabies.

Berikutan tahap kesedaran yang masih rendah, Jabatan Kesihatan Negeri Sarawak merayu orang ramai yang mempunyai sejarah gigitan anjing dalam tempoh 1 April lalu hingga kini, agar segera membuat pemeriksaan di mana-mana fasiliti kesihatan yang terdekat.

Sementara itu, Jabatan Perkhidmatan Veterinar Sarawak memaklumkan bahawa pada esok, mereka akan mengadakan Program Pemvaksinan Anjing di kampung-kampung di Bahagian Serian; iaitu di Kampung Bantang, Kampung Kakeng, Kampung Jenan, Kampung Lanchang

Kampung Labak Tungan, Kampung Riih Daso, Kampung Benat dan Kampung Plaman Nyabet.

“Setakat jam 3 petang tadi, sebanyak 206 ekor anjing telah divaksin di lapan buah kampung di Daerah Bau.

“Secara kumulatif, sebanyak 30,511 ekor haiwan kesayangan yang terdiri dari 22,869 ekor anjing, 7,597 ekor kucing dan 45 haiwan lain telah divaksin.

“Sejumlah 34,315 survelan aktif dan 733 survelan pasif untuk mengawal penularan wabak Rabies telah dilakukan oleh JPVS di kawasan Serian, Kuching dan Sri Aman.

Sejumlah 181 sampel yang terdiri daripada 163 sampel anjing, 17 sampel kucing dan satu sampel kelawar yang diperolehi dari Bahagian Kuching, Sri Aman, Serian, Samarahan, Betong, Sarikei, Sibu dan Miri juga telah dihantar ke Institut Penyelidikan Veterinar (VRI) Ipoh untuk ujian virus Rabies.

Bilangan sampel positif virus Rabies melalui ujian Direct Fluorescent Antibody Test (FAT) masih kekal 33 sampel anjing dan 6 sampel kucing daripada 157 keputusan sampel yang diterima dari VRI, Ipoh. – Sarawakvoice