KUCHING: Institut Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan Negara (NIOSH) dalam satu kenyataan malam tadi mendesak agar pihak berkuasa memastikan hanya pengendali kren yang bertauliah dilantik oleh kontraktor dalam mengendalikan kerja di tapak pembinaan.

Pengerusinya, Tan Sri Lee Lam The berkata, prosedur ketat lain yang wajib dipatuhi adalah setiap pegawai tapak perlu memeriksa keadaan kren semasa berada di tapak pembinaan.

“Peruntukan ini jelas kerana di bawah Akta Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan 1994 (OSHA), kontraktor utama tapak harus bertanggungjawab memastikan penggunaan kren adalah selamat apabila di tapak pembinaan.

“Akta Kilang dan Jentera 1967 pula memerlukan kren dipasang dan diselenggarakan oleh sebuah syarikat yang tertentu dan berdaftar dengan Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (JKKP).

Beliau mengulas insiden kren tumbang di tapak pembinaan Taman Capital di Kota Samarahan, Sarawak pada petang semalam yang menyebabkan dua pekerja terbunuh.

“Perkara ini menimbulkan kebimbangan akan aspek keselamatan di tapak pembinaan,” katanya.

Dalam kejadian sekitar jam 3.50 petang itu, seorang pekerja lelaki dan seorang kerani wanita maut serta-merta

dan pasukan penyelamat terpaksa menggunakan dua jentera jengkaut untuk mengangkat lengan kren yang jatuh untuk mengeluarkan mayat mangsa.

“Saya menyeru kepada semua pengendali kren pembinaan agar mendapatkan perakuan dan pentauliahan yang sah daripada DOSH manakala syarikat-syarikat yang mengoperasikan kren juga perlu berdaftar dengan DOSH.

“Pemantauan yang ketat amat diperlukan oleh pihak berkuasa selain penguatkuasaan undang-undang serta peraturan di bawah Akta Kilang dan Jentera dan OSHA.

“Saya juga berharap pihak polis, DOSH dan Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan (CIDB) akan melakukan siasatan rapi akan insiden ini dan hasil siasatan dimaklumkan kepada orang ramai, kerana ia melibatkan kepentingan awam.

Tindakan tegas juga perlu diambil terhadap pengendali kren yang gagal mengendalikan kren dengan selamat dan tidak boleh dikompromi kerana melibatkan kemalangan maut di tapak pembinaan. – Sarawakvoice