KUCHING: Organisasi Pendidikan, Keilmuan dan Kebudayaan PBB (Unesco) merekodkan separuh daripada bahasa dunia akan pupus dan hilang dari dunia ini menjelang 2100.

Bercakap pada Persidangan Antarabangsa Pengajian Bahasa (ICLS) 2017 pada Rabu, Naib Canselor Universiti Malaysia Sarawak (Unimas) Profesor Dato’ Dr. Mohamad Kadim Suaidi mengesahkan, bahasa di Asia turut termasuk dalam senarai terancam kepupusan itu.

Di Malaysia antara bahasa terancam pupus adalah seperti Kristang, bahasa komuniti Portugis-Eurasian di Melaka.

Di Sarawak, selain Seru dan Lelak sudah dilaporkan pupus, dua lagi bahasa terancam pupus ialah Kejaman dan Miriek.

Dr. Mohamad Kadim Suaidi (Kredit Foto Unimas)

Kadim menyifatkan bahawa masanya sangat sesuai dan tepat membincangkan isu kepupusan bahasa dan budaya ini secara terbuka dan serius seterusnya usaha dan kerjasama memulihara serta memelihara bahasa dan budaya asli di wilayah ini ditangani secara serius.

Kadim berjanji bahawa pihak Unimas sentiasa berada di barisan hadapan memelihara dan memulihara bahasa dan budaya Sarawak untuk saling bekerjasama dengan Kerajaan Negeri dan pelbagai pihak berkepentingan.

Pada majlis yang sama, Ketua Menteri Datuk Amar Abang Johari Tun Openg turut menyebut bahasa Tatau, Lugat, Narum, Sihan, Lahanan, Baketan dan Seru terancam pupus jika sebarang langkah dan tindakan memeliharanya diabaikan.

Di Malaysia, beliau melihat bahasa asli mati secara perlahan-lahan akibat pengaruh budaya dan bahasa dominan seperti bahasa Malaysia dan bahasa Inggeris

Sementara dari segi pengaruh bahasa dan budaya luar, budaya popular seperti “The Wave Korea” mengeksport k-pop dalam industri kreatif, memberi kesan kepada kebanyakan orang khususnya generasi baru.

Beliau turut menyeru agar penyelidik, pengamal, serta pemimpin masyarakat pribumi bergabung dengan institusi pengajian tinggi serta pihak berkepentingan memelihara, memulihara dan menghidupkan bahasa dan budaya asli ini untuk generasi akan datang. – Sarawakvoice