KUCHING: Menteri Kerajaan dan Perumahan Sarawak, Datuk Dr Sim Kui Hian petang semalam mengesahkan jangkitan Rabies kepada mangsa keenam dan terbaharu yang berusia tujuh tahun dan gigitan berlaku pada bulan Jun yang lalu.

Mangsa katanya, mempunyai sejarah digigit anjing pada 17 Jun sedangkan proses pemvaksinan besar-besaran mula dilaksanakan pada bulan Julai, apabila dua mangsa pertama didiagnosis positif jangkitan tersebut pada 1 Julai.

“Ia berlaku di kawasan jangkitan. Budak malang itu telah digigit pada bulan Jun dan telah menerima suntikan vaksin sebanyak tiga kali,” katanya ketika ditemui media.

Kanak-kanak lelaki malang itu dikatakan telah menerima suntikan vaksin pada 21, 24 dan 28 Julai, namun agak terlewat kerana pada 1 Ogos telah menunjukkan simptom Rabies
apabila mengalami gejala demam, batuk, muntah dan halusinasi.

Mangsa kemudian dirujuk ke Hospital Umum Sarawak dan kini dalam keadaan kritikal serta bergantung kepada alat sokongan pernafasan, katanya.

Bagaimanapun, Dr Sim menasihatkan orang ramai agar tidak panik kerana tidak ada kes lain yang direkodkan ketika ini melainkan kes tersebut.

” Cuma beliau agak kecewa dengan tahap kesedaran orang ramai yang memberi sambutan dingin terhadap taklimat Rabies yang diadakan.

” Malah mangsa gigitan anjing juga berdegil.

” Jabatan Kesihatan Negeri telah melaporkan sebanyak 115 kes gigitan baharu pada semalam, menjadikan keseluruhannya sejak 1 April lalu sebanyak 1,869 kes.

” Namun daripada jumlah itu, hanya 857 kes sudah menerima suntikan vaksin. Yang lain gagal mendapatkan vaksin walaupun kita sediakan secara percuma,” katanya lagi.

Sementara itu, Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri mengisytiharkan “Kampung Kuala” di Serian sebagai lokasi ke-23 kawasan jangkitan Rabies.

Sehubungan itu, Jabatan Perkhidmatan Veterinar Negeri telah mengatur gerak dua kumpulan survelan ke sana untuk melakukan siasatan dan membuat persampelan.

Semalam, sebanyak 504 anjing telah divaksinkan iaitu 74 ekor di Bahagian Serian dan 430 ekor di 11 kampung di Daerah Lundu.

Ia menjadikan lebih 29 ribu haiwan terutamanya anjing telah divaksin setakat ini. – Sarawakvoice