KUALA LUMPUR: Pas menyifatkan langkah yang diambilnya dengan mengadakan  Sidang Meja Bulat 1MDB dengan pihak pengurusan 1MDB yang diketuai oleh Presidennya, Arul Kanda Kandasamy semalam selari dengan Budaya Politik Matang dan Sejahtera (BPMS) yang digagaskannya, berasaskan  politik bertunjangkan prinsip dan politik kebenaran bukan persepsi.

Menurut Ketua Penerangan Pas Pusat, Nasrudin Hassan, langkah ini adalah penting supaya keputusan yang diambil adalah matang, rasional dan tepat serta jauh daripada terpengaruh dengan permainan media dan ‘permainan politik’ pihak berkepentingan.

Ahli Parlimen Bandar Tun Razak Tan Sri Khalid Ibrahim yang turut hadir yang  juga pakar ekonomi, kata Nasrudin  berpandangan bahawa kesilapan pengurusan 1MDB bermula apabila mempunyai modal yang kecil, tetapi berbelanja dan memiliki hutang yang besar sehinggakan pendapatan yang ada untuk membayar faedah yang tinggi.

“Beliau juga tidak percaya dengan hasrat ‘baik’ DOJ mengenakan saman sivil yang disifatkan mempunyai kepentingan politik tertentu bukannya dapat memberi faedah kepada rakyat di negara ini,” katanya dalam satu kenyataan.

Katanya, bekas Penasihat Undang-undang Sultan Terengganu Datuk Wan Ahmad Fauzi Hashim  juga menyokong penubuhan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) bagi menjelaskan dakwaan adanya korupsi dan campur tangan politik serta ada sesuatu yang tak kena sebagaimana telah disebut dalam Laporan PAC.

Justeru itu, katnya, Pas  membuat beberapa pendirian supaya isu 1MDB diselesaikan dan rakyat tidak dibebankan sebagaimana berikut:

Pertama, kata Nasrudin, memandangkan Kementerian Kewangan telah pun mengambil alih aset yang ada pada 1MDB dan diserahkan kepada MOF Incorporated, maka Pas berpendirian bahawa Menteri Kewangan perlu melaporkan kepada Parlimen dari semasa ke semasa.

“Ini bertujuan supaya ahli-ahli Parlimen dapat mengetahui dan memantau perkembangan aset-aset tersebut dan mengelakkan tidak timbul masalah baru jika tidak dikawal,” katanya.  

Kedua, ujarnya,  Pas mencadangkan supaya RCI diwujudkan bagi menyiasat perkara yang mencetuskan kemelut dalam isu 1MDB, khususnya sebelum Arul Kanda  diterima masuk dan membuat Pelan Rasionalisasi terhadap 1MDB.

Sebenarnya, katanya, cadangan ini telah pun dibawa oleh Presiden Pas Datuk Seri Abdul Hadi Awang pada 13 Oktober 2015, antara yang paling awal mencetuskan idea supaya RCI diwujudkan dalam isu 1MDB.

“PAC tidak boleh menyelesaikan masalah, justeru ia hanya satu badan yang dianggotai oleh lapan ahli parlimen BN dan lima daripada pembangkang, dan hanya mempunyai bidang kuasa menyiasat,” katanya.

Ketiga, tambahnya,  Pas mengharapkan supaya 1MDB  diberi peluang untuk menyelesaikan segala hutang yang ditanggung oleh 1MDB, kerana kelewatan menjelaskan hutang ini menyebabkan kos faedah yang dikenakan adalah sangat besar, sebanyak US$1.9 bilion setahun.

Kelewatan menjelaskan hutang ini menyebabkan kadar faedah bertambah, katanya.

Keempat, katanya lagi Pas mengharapkan tidak banyak campur tangan politik yang mengganggu Pelan Rasionalisasi yang telah pun dikemukakan.

“Kita mahu isu ini diselesaikan dengan rakyat tidak dibebankan. Selain itu, sebagaimana yang disebut oleh Presiden Pas, kita tidak mahu isu 1MDB membuka jalan bagi mengundang campurtangan asing dan kita mahu diselesaikan segera di peringkat dalaman negara. Bebaskan institusi kehakiman dan penguatkuasa untuk menjalankan siasatan dan tindakan kepada pihak yang terlibat,” tegasnya. – Sarawakvoice