Tuesday, June 28, 2022

Pekerja menara elektrik maut dihempap lori di laluan balak Majau, Kanowit

Secara Rawak

KANOWIT: Jalan kayu balak yang licin, dan tanah liat yang curam dan sempit menjadi punca sebuah lori terbalik lalu menghempap serta membunuh pemandunya, dalam nahas di Jalan Simpang Majau di sini semalam.

Penolong Pengarah Operasi Bomba dan Penyelamat Negeri, Tiong Ling Hii berkata, pihaknya menerima maklumat insiden sekitar jam 2.29 petang melalui Balai Polis Kanowit.

“Sejurus kemudian, sebuah jentera FRT, sebuah pacuan empat roda Dmax dan Perodua Kembara dengan kekuatan 10 anggota diatur gerak ke lokasi dari Balai Bomba dan Penyelamat Kanowit.

“Mereka tiba di simpang Jalan Majau sekitar jam 3 petang dan terpaksa menumpang kenderaan pacuan empat roda milik syarikat menara elektrik untuk ke lokasi kejadian.

“Pasukan kemudian tiba di lokasi 26 minit selepas itu dan mendapati mangsa tersepit di bawah lori yang terbalik.

Pihak polis yang berada di lokasi kemudian memgesahkan mangsa sebagai tidak lagi bernyawa.

Kata Ling Hii, pasukan kemudian memohon bantuan daripada syarikat Pembinaan Tower Elektrik untuk menyediakan sebuah jengkaut untuk mengalihkan lori tersebut.

“Setelah lori dapat dialihkan, mangsa yang tersepit di bawah lori dapat dikeluarkan dari lokasi nahas.

“Mayat kemudian diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan selanjutnya.

Siasatan awal mendapati mangsa yang tersepit merupakan pekerja syarikat menara elektrik daripada Syarikat Pembinaan Tower Elektrik dan berasal dari hulu Kanowit. Dia dikenali sebagai Andrew.

Kes diserahkan kepada pihak polis untuk siasatan dan tindakan lanjut. – Sarawakvoice

Ikuti Facebook Kami

Artikel Terbaru