Sampel anjing terus negatif Rabies, hanya 32 kes gigitan anjing dilaporkan

0
3
Gambar hiasan

KUCHING: Sembilan sampel anjing yang dihantar ke Institut Penyelidikan Veterinar di Ipoh, Perak pada 1 Ogos lalu bebas daripada penyakit Rabies.

Menurut Jabatan Perkhidmatan Veterinar Sarawak, kawasan tersebut termasuklah Lorong Regas, Jalan Padungan, Jalan Resak, bandar Betong, pekan Lubok Antu, Batu Lintang, Sri Aman dan bandar Sri Aman.

Pada semalam juga, sebanyak 189 ekor anjing telah divaksinkan bagi mengawal penularan wabak Rabies di beberapa kampung di Daerah Bau iaitu Kampung Stass, Kampung Serikin 1, Kampung Sebubok dan Kampung Bogag.

“Setakat ini sejumlah 24,819 haiwan telah divaksin, yang terdiri daripada 17,179 ekor anjing, 7,595 ekor kuching dan 45 ekor haiwan lain.

“Pihak jabatan juga telah mengadakan sebanyak 152 kempen kesedaran mengenai wabak Rabies di kampung-kampung dan sekolah di kawasan yang terlibat,” menurut kenyataan Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri.

Sementara itu, menurut Jabatan Kesihatan Negeri, sebanyak 32 kes gigitan telah dilaporkan, dengan 14 kes direkodkan di Bahagian Serian, Sri Aman (5 kes), Kuching (12 kes) dan Samarahan satu kes.

“Ini menjadikan bilangan kumulatif gigitan anjing yang berlaku sejak 1 April 2017 hingga semalam berjumlah 1,415 kes,” kata kenyataan itu lagi. – Sarawakvoice

Gambar hiasan