Tuesday, December 6, 2022

Kontrak kerja asas Empangan Baleh dimeterai, SEB tuntut hasil kerja kualiti tinggi

Secara Rawak

KUCHING: Anak syarikat Sarawak Energy Berhad, SEB Power semalam menandatangani perjanjian dengan China Gezhouba Group Company Limited dan Untang Jaya Sdn Bhd berhubung kontrak bagi kerja-kerja asas untuk pembinaan Empangan Hidroelektrik Baleh.

Majlis disaksikan oleh Timbalan Ketua Menteri yang juga Menteri Pembangunan dan Pengangkutan, Tan Sri Dr James Jemut Masing.

Pengerusi SEB, Tan Sri Abdul Hamed Sepawi dalam ucapannya berkata, pembinaan Baleh HEP kini berada di landasan yang tepat, dan amat mematuhi matlamat dan piawaian antarabangsa serta industri.

“Kami mempunyai dasar dan prosedur perolehan yang sangat berstruktur dan jelas bagi mematuhi piawaian ini,” katanya lagi.

Fokus kini katanya, adalah untuk memastikan kerjasama erat dengan kontraktor yang dapat menyampaikan projek berkualiti tinggi, seterusnya memenuhi keperluan syarikat.

Beliau menjelaskan, ia juga bersesuaian dengan matlamat SEB untuk menyokong inisiatif negeri dalam memaksimumkan kandungan tempatan dan Bumiputera dalam perolehan kontraknya.

“Pelaksanaan projek ini turut membuka peluang pekerjaan kepada belia tempatan selain menjalin kerjasama dengan institusi latihan untuk program pembinaan kapasiti khas.

“Sejumlah 500 belia dari Bahagian Kapit akan menerima manfaat ini,” jelasnya.

Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Sarawak Energy, Sharbini Suhaili menandatangani perjanjian bagi pihak SEB Power Sdn Bhd manakala China Gezhouba Group Company Limited diwakili oleh Xu Zhongguo dan Huang Mingxing.

Untang Jaya Sdn Bhd pula diwakili oleh pengarahnya, Micheal Jawa dan Pengarah Urusannya, Rheineld @ Minor Panyau.

Pembinaan empangan ini dijadualkan bermula pada Oktober tahun depan. – Sarawakvoice

Ikuti Facebook Kami

Artikel Terbaru