Saturday, May 21, 2022

Kuching bersedia untuk muncul sebagai bandar raya pintar — Abang Jo

Secara Rawak

KUCHING: Bandar raya Kuching bakal muncul sebagai bandar raya pintar, apabila projek DBKU Metropolitan “Wi-fi Percuma Untuk Rakyat” direalisasikan sedikit masa lagi.

Ketua Menteri, Datuk Amar Abang Johari Tun Openg berkata, pelaksanaan projek ini tepat pada masanya, sejajar dengan tumpuan negeri ini terhadap pelaksanaan dasar ekonomi digital.

“Kemudahan ini akan memenuhi keperluan generasi masa kini yang memerlukan sistem jalur lebar berhalaju tinggi  mewujudkan dimensi baru dari aspek pertumbuhan ekonomi.

“Pada masa yang sama, ia juga akan melengkapi bandar raya ini yang sebelum ini diiktiraf sebagai Bandar Raya Perpaduan pertama di Malaysia,” katanya ketika berucap merasmikan sambutan Hari Bandar Raya Kuching yang ke-29 di Stadium Perpaduan di sini pagi semalam.

Turut dilangsungkan sempena sambutan tersebut, termasuklah perarakan Hari Bandar Raya Kuching, Persidangan Orkid Asia Pasifik, Aktiviti Berbasikal Untuk Perpaduan dan Keamanan, Festival Zumba Kuching, pesta makanan dan banyak lagi.

Tambah Abang Johari, sepanjang 29 tahun lalu, bandar raya ini telah mencipta pelbagai kejayaan termasuk muncul sebagai bandar raya terbersih di Asia, yang telah direkodkan dalam Majalah Week pada tahun 1999 serta bandar raya mampan peringkat Asean pada tahun 2011.

“Justeru pasukan pentadbirnya harus sentiasa tampil kreatif untuk meneruskan kejayaan ini, termasuk memastikan ia sentiasa disenangi dan di hati rakyat.

“Kerana itu saya amat gembira dan menyokong usaha memperkenalkan Aplikasi Whatsapp DBKU bagi membantu rakyat membuat cadangan serta mengutarakan masalah mengenai isu-isu perbandaran di bawah bidang kuasa pihaknya. – Sarawakvoice

Ikuti Facebook Kami

Artikel Terbaru