Sunday, November 27, 2022

Murid tahun 6 raih pingat emas di Korea Selatan, cipta alat solar pemberi makan kucing

Secara Rawak

KANGAR: Murid tahun 6 Malaysia menarik perhatian hakim di Korea Selatan kerana berjaya mencipta alat pemberi makanan kucing menggunakan tenaga solar semasa tuannya tiada di rumah.

Kemenangan itu melayakkan Muhammad Danish Syafi Mohd Azdikirana, 12, pelajar Sekolah Kebangsaan (SK) Putra meraih pingat emas pada Pertandingan Kreativiti Reka Cipta Dunia (WICC) di Korea Selatan yang berakhir Ahad.

WICC keenam anjuran Korea University Invention Association (KUIA) merupakan platform penyelidikan khusus yang menghimpunkan inovasi para pelajar dari sekolah di seluruh dunia.

Memetik Bernama, kenyataan Universiti Malaysia Perlis (UniMAP) pada Isnin berkata inovasi ciptaan Muhammad Danish yang mewakili sekolahnya itu berjaya menarik perhatian para juri.

Inovasi tersebut mampu membantu menyelesaikan masalah pencinta kucing memberi makan kucing semasa mereka tiada di rumah.

Menurut kenyataan tersebut, alat pemberi makanan kucing suria itu merupakan perkongsian idea bersama ayah Muhammad Danish sendiri mereka cipta kotak makanan yang disambungkan kepada litar kawalan elektrik, alat pengimbas dan panel suria sebagai bekalan tenaga.

Muhammad Danish bersama adiknya dikatakan memikirkan kaedah terbaik tersebut demi memastikan lapan ekor kucing peliharaan mereka tidak terabai semasa mereka tiada di rumah.

Idea tambahan bagi produk inovasi itu turut dibantu rakan Muhammad Danish iaitu Amirul Haziq Mohd Shamsudin.

Amirul mencipta fungsi alat pengimbas yang mampu mengeluarkan makanan secara automatik dalam jumlah ditetapkan apabila kucing mendekati alat tersebut.

Muhammad Danish dan Amirul berharap produk berkenaan mampu mendapat penajaan dana dari pihak yang berminat agar ia dapat dikomersialkan di pasaran.

Muhammad Danish terpilih menyertai WICC menerusi tajaan Universiti Malaysia Perlis (UniMAP) dan Yayasan Tuanku Syed Putra (YTSP).

Sebelum ini, dia muncul pemenang Kategori Utama dalam Simposium Inovasi dan Pembelajaran Kajian Kejuruteraan (PERLIS 3.0) pada Mei lepas.

Selain SK Putra, dua lagi pingat emas diperoleh delegasi penyelidik Perlis, pelajar dari Sekolah Menengah Agama (SMA) al-Madrasah al-Alawiyah ad-Diniah (al-Maad). – Sarawakvoice

Ikuti Facebook Kami

Artikel Terbaru