KUCHING: Ibu bapa perlu mendorong anak-anak mereka untuk belajar lebih daripada satu bahasa, sejak mereka kecil lagi.

Menteri Kebajikan, Kesejahteraan Komuniti, Wanita, Keluarga dan Pembangunan Kanak-kanak, Datuk Fatimah Abdullah berkata, keperluan ini akan wujud pada masa hadapan, kerana penguasaan lebih daripada dua bahasa akan memberikan kelebihan kepada setiap kanak-kanak terbabit.

“Tidak wujud bebanan kepada kanak-kanak ini, kerana fungsi otak mereka pada usia ini, terbuka kepada pelbagai aspek pembelajaran,” katanya ketika ditemui pada Hari Penghargaan Ibu Bapa Smart Reader di Plaza Merdeka, dekat sini semalam.

Pada majlis tersebut, beliau turut melancarkan produk terbaharu Smart Reader Malaysia iaitu “Smart Mandarin”.

Fatimah berkata, Bahasa Mandarin sebenarnya berpotensi menjadi bahasa ketiga kerana ia antara sepuluh bahasa yang menjadi pilihan dan banyak ditutur di seluruh dunia.

“Malah ia paling banyak digunakan dalam urusan perniagaan di peringkat global,” katanya.

Jelasnya, program Smart Mandarin bersifat sistematik dan dapat membantu anak-anak untuk menguasai bahasa Mandarin dengan mudah.

Ia boleh dilakukan dengan pelbagai cara, dan mengikut kesesuaian kurikulum antarabangsa.

“Seperti kebanyakan negara lain di dunia, mempelajari banyak bahasa menjadi trend dan kegilaan terbaharu.

“Di Eropah, mereka menggalakkan serta mempromosi bahasa Mandarin selepas bahasa Melayu dan Inggeris.

Fatimah berkata, antara sebab bahasa Mandarin dipilih adalah kerana ia setara dengan Bahasa Inggeris, yang juga merupakan bahasa antarabangsa.

“Kanak-kanak lebih mudah dan mampu menyerap bahasa lain selain bahasa ibunda mereka kerana faktor umur.

” Ini lebih baik dan mampu mendatangkan banyak faedah terutamanya pada era global masa kini.

Justeru itu, katanya ibu bapa hendaklah menggalakkan anak mereka  untuk belajar Bahasa Mandarin bagi menigkatkan kemahiran mereka berkomunikasi. – Sarawakvoice