BAU: Kerajaan Pusat hari ini melaungkan komitmen untuk terus membantu Kerajaan Sarawak dalam mengekang penularan wabak Rabies di negeri ini.

Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek berkata, pihaknya malah akan memastikan operasi pemvaksinan untuk membendung wabak ini akan terus dilaksanakan selain pengimportan vaksin Rabisin tambahan.

“Saya juga telah mengarahkan Jabatan Perkhidmatan Veterinar Persekutuan menambahkan jumlah kakitangan untuk membantu proses pemvaksinan ini,” katanya ketika ditemui media selepas meninjau operasi pemvaksinan anjing di Dewan Suarah Bau, di sini sebentar tadi.

Wabak Rabies dikesan di Daerah Serian sejak bulan lalu, dan mula diisytihar secara rasmi pada 1 Julai, setelah dua beradik dari Kampung Paon Rimu Bakung menjadi mangsa pertamanya.

Kedua-dua beradik tersebut dan tiga lagi mangsa lain selepas itu tidak dapat bertahan dan telah menghembuskan nafas terakhir.

Kesemua mereka mempunyai sejarah digigit anjing pada Mei lalu.

Berdasarkan siasatan awal, wabak ini dipercayai merebak ke negeri ini dari negara jiran.

Difahamkan ia telah mengorbankan sekurang-kurangnya 13 jiwa di negara tersebut, hingga memaksa pihak berkuasa menembak mati mana-mana anjing yang disyaki dijangkiti dan telah berubah karektor.

Ahmad Shahbery berkata, biarpun semua sampel tisu anjing yang dihantar ke Institut Penyelidikan Veterinar di Ipoh ketika ini menunjukkan keputusan negatif, serta tiada kes baharu terhadap manusia dilaporkan, ia bukan bermakna semua pihak boleh menarik nafas lega.

“Masih terlalu awal untuk meramalkan penyakit anjing gila di Sarawak berjaya dibendung.

“Benar, jumlahnya menurun tetapi kita masih perlu meningkatkan kewaspadaan, kerana jangkitan penyakit ini hanya dapat dikesan selepas beberapa minggu.

Ahmad Shahbery memberitahu, pihaknya telah membuat keputusan bahawa seramai 20 kakitangan Jabatan Perkhidmatan Veterinar dari Semenanjung akan dihantar ke Sarawak sebagai bantuan tambahan kepada 10 orang yang dihantar sebelum ini.

Malah pasukan yang sama juga didatangkan dari Sabah, bagi menggerakkan operasi mengekang penularan.

Pada masa yang sama, katanya sebanyak 50 ribu vaksin Rabisin sudah ditempah daripada Pertubuhan Kesihatan Haiwan Sedunia (OIE) yang berpangkalan di Bangkok, Thailand sebagai persediaan tambahan.

“Sehingga kini kita sudah menghantar 47 ribu vaksin ke Sarawak dan 23 ribu daripadanya sudah digunakan.

Sebanyak 577 anjing liar turut ditangkap dan divaksinkan di 22 kawasan yang disahkan dijangkiti wabak ini, jelasnya.

Hadir sama dalam tinjauan tersebut Timbalan Ketua Menteri, Datuk Amar Douglas Uggah Embas; Timbalan Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Anthony Nogeh Gumbek; Ketua Pengarah Perkhidmatan Veterinar, Datuk Dr Quaza Nizamuddin Hassan Nizam dan Pengarah Kesihatan Sarawak, Dr Jamilah Hashim. – Sarawakvoice